Indahnya hidup ini bila kita mengikuti sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Diamalkan pula pada setiap hari. Semoga kita yang menamalkan sunnah sentiasa mendapat reda Allah dan juga syafaat Nabi.
Pasti ramai yang sudah tahu dengan 7 sunnah yang ingin disampaikan. Tetapi mungkin disebabkan ia kelihatan remeh dan kecil, jadi kita alpa dan meninggalkannya. Akhirnya, sunnah mudah ini tidak terlaksana.
Jadi mari kita ketahui 7 sunnah tersebut. Moga artikel ini membuka minda kita untuk mengamalkan sunnah yang mudah ini. Insyaallah.
#1 – Berjalan Ke Masjid Dengan Sopan Dan Tenang
“Apabila kamu mendengar Iqamah, hendaklah kamu berjalan bagi bertujuan solat dan hendaklah kamu berjalan dengan sopan dan tenang.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Apabila terdengar suara Iqamah, kita janganlah tergopoh-gapah memasuki masjid.
Berjalanlah dalam keadaan tenang. Supaya ibadat solat kita dikerjakan dalam keadaan tenteram dan aman.
Begitu jugalah apabila Imam sudah memulakan solat. Kita tidak seharusnya kelam-kabut sehingga boleh menganggu jemaah yang sedang bersolat kerana bunyi hentakan kaki kita yang deras akibat berjalan pantas.
#2 – Solat Sunat Tahiyatul Masjid
“Apabila kamu memasuki masjid janganlah kamu duduk sebelum kamu solat dua rakaat.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Antara sunnah Nabi yang mudah adalah solat sunat tahiyatul masjid. Hanya dua rakaat sahaja.
Solat dua rakaat ini bertujuan untuk memberi penghormatan dan memuliakan masjid sebagai tempat ibadat yang suci.
Imam Syafie berkata;
“Solat sunat tahiyatul masjid diharuskan sekalipun ketika waktu-waktu yang diharamkan solat.”
Tidak sampai beberapa minit pun. Ayuh, selepas ini sebelum duduk di masjid, kita solat sunat tahiyatul masjid ini terlebih dahulu.
#3 – Memberikan Senyuman
“Janganlah kamu meremehkan sesuatu kebaikan sedikitpun sekalipun ketika kamu bertemu saudara kamu dengan menunjukkan wajah yang manis.”Riwayat Muslim
Senyum antara sunnah yang senang dilakukan. Senyum juga mempunyai banyak manfaatnya.
Senyum dapat mengurangkan stress, dapat menjadikan kita awet muda, juga dapat menurunkan tekanan darah dan banyak lagi.
Itulah kelebihan daripada mengamalkan sunnah yang begitu mudah ini. Nampak kecil tetapi kelebihanmya cukup besar. Subhanallah, betapa hebatnya ciptaan Allah S.W.T.
Masih malas lagi kah kita untuk mengamalkan sunnah ini? Ayuh mudah sahaja!
#4 – Berjimat Dalam Mengambil Wuduk
“Rasulullah S.A.W berwuduk dengan menggunakan air dengan kadar secupak.”Muttafaqun Alaih
Kita tidak terlepas daripada melaksanakan ibadah taharah(bersuci) ini. Setiap hari kita akan mengerjakan solat fardu. Dan sebelum solat, kita diwajibkan berwuduk.
Maka, sunnah berjimat dalam menggunakan air untuk berwuduk ini hendaklah kita lakukan.
Berwuduk itu sudah baik dan ia lebih baik apabila kita tidak membazirkan penggunaan air tersebut.
Amalan membazir perlulah dijauhi. Kerana berbazir adalah amalan syaitan.
#5 – Merebut Ganjaran Saf Solat Yang Pertama
“Sekiranya manusia mengetahui kelebihan melaungkan azan dan saf pertama nescaya mereka akan mendapatkannya sekalipun dengan cara membuat undian untuk mendapatkannya.”Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim
Sunnah ini juga mudah bagi kita untuk mengamalkan. Terutamanya ketika kita solat berjemaah di masjid atau pun surau.
Isilah saf yang di hadapan sekali. Jangan dibiarkan kosong. Seperti sabda Nabi di atas, jika kita tahu akan kelebihannya pasti kita akan merebut untuk berada di saf yang pertama, walaupun dengan cara mengundi.
Sunnah ini besar ganjarannya, jadi janganlah meninggalkannya jika kita mampu mengerjakannya.
#6 – Berkata Dengan Ucapan Yang Baik
“Ucapan atau kata-kata yang baik itu adalah sedekah.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Berkata baik itu bukan hanya berzikir semata-mata, tetapi memberi ucapan salam juga adalah antara kata-kata yang baik. Memuji kebesaran ciptaan Allah S.W.T itupun berkata baik.
Berkata baik ini dapat menimbulkan ketenangan dalam jiwa.
Berbanding dengan ucapan yang penuh dengan emosi, perasaan marah dan benci. Ia mengundang keresahan dan kegelisahan di dalam hati.
Berkata baiklah. Kerana ia juga akan dicatat oleh dua malaikat.
#7 – Mengambil Suapan(Makanan) Yang Terjatuh
“Apabila makanan yang disuapkan terjatuh, maka hendaklah kamu ambil semula dan buangkan kekotoran yang ada padanya kemudian hendaklah kamu makan.”Riwayat Muslim
Ketika kita menjamah makanan, kadang kala ada juga sebutir dua cebisan makanan yang terjatuh dari pinggan. Makanan yang terjatuh itu tidak sepatutnya dibiarkan.
Kita perlulah mengambilnya semula. Jika ada kekotoran kecil, kita bersihkannya dan boleh dimakan lagi.
Sunnah ini kelihatan kecil, tetapi ia menunjukkan satu adab yang baik ketika kita sedang makan.
Amatlah digalakkan kita untuk mengamalkan sunnah ini apabila ada makanan yang terjatuh. Agar tidak mensia-siakan rezeki Allah yang sangat bernilai ini.
Kesimpulannya, kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W seharusnya dan semestinya kita mengamalkan cara hidup kekasih teragung ini.
Jangan menyalahkan masa, kerana sunnah Nabi ini cukup mudah dilaksanakan. Jangan memberi alasan payah, kerana sunnah Nabi ini mudah dan indah.
Sementara hidup masih berbaki ini, amat beruntunglah mereka yang bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah.
Cukup bahagia mereka yang cintakan sunnah nabi. Kenapa bahagia? Kerana sunnah Nabi itu tidak pernah sia-sia. Ia ada kelebihan tersembunyi di dalamnya. Waallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
EmoticonEmoticon