Tampilkan postingan dengan label semasa. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label semasa. Tampilkan semua postingan

5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG



Kebanyakan masa bila sahabat handai bertanya soalan serius ini, saya tertanya juga apakah mereka menganggap saya ini pencipta Waze. Letak saja alamat, mesti tahu arah tuju.
Advertisement
"Betulkah rumah akan turun harga tahun depan?’’ soal Syed dengan muka penuh pengharapan. Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan kerajaan bahawa sektor hartanah negara ini mengalami situasi 'tidak laku’ dan fakta, betapa harga rumah sekarang melam­pau-lampau.
Yang diistilahkan 'mampu milik’ pun berada di paras RM400,000 sebuah. Berapa gaji minimum anda kena miliki untuk layak dapat pinjaman bank atau gadai janji (mortgage)? Dan katakanlah bank hanya memberi kemudahan 95 peratus. Mana hendak cari RM20,000 untuk bayaran tunai.
Harga rumah melambung-lambung ini sememangnya menjadi isu semasa negara. Ia dibicarakan oleh rakyat di semua peringkat. Golongan marhain mengeluh, kelas pertengahan merengus dan golongan politik dilihat senantiasa berbahasa kiasan.
Paling kelakar bila kumpulan pemaju pula beria-ia tampil dengan kenyataan 'sektor hartanah diyakini kembali pulih tidak lama lagi’. Maksudnya ialah harga semasa yang ditangisi rakyat sebagai 'mahal’ tidak sesekali akan diturunkan.
Itu bacaan saya terhadap industri perumahan sekarang. Inilah berita negatif saya kepada Syed. Mungkin dia tidak menduga menerima maklum balas saya, walaupun berulang kali juga saya ingatkan bahawa mungkin sebaliknya akan berlaku, siapa tahu. Mungkin benar turun. Lagi pun saya bukan pakar. Sekadar meneliti trend semasa dan pendapat penganalisis, lalu dirangkum dan dirumuskan.
Tetapi mengambil kira semua faktor langsung dan tidak langsung dalam industri perumahan seperti kos pem­binaan, kos hartanah dan siapnya aliran MRT di Lembah Klang, ayat 'harga turun’ tidak mungkin ditemui dalam iklan rumah.
Tidak mahu menekan terlalu lama bab harga ini, saya cuba menasihati Syed untuk menangani masalah ini secara berdepan. "Ini tiada dalam manual atau buku panduan membeli rumah. Ini adalah daripada pengalaman,’’ ujar saya dalam 'nicotiana tabacum' kedua.
Syed, berikut adalah lima petua Merrepak untuk anda membeli rumah. Tidak wajib patuh. Tidak wajib akur. Memadai senyum, cukuplah.
1. Kahwin
Belum ada jodoh? Bagaimana hendak ada jodoh jika calon pun tiada. Tidak apa. Bukan hendak cerita hal jodoh pun. Tetapi berkahwin juga bermakna percantuman dua ekonomi suami isteri.
Pendapatan seisi rumah ini menjadi kriteria yang baik ketika memohon pembiayaan pembelian rumah, berbanding seorang. Lebih-lebih lagi bank sekarang yang mengetatkan syarat kelayakan.
Sudahlah rumah mahal, bank pula ketat. Peritlah ekonomi negara dibuatnya. Serba-serbi sakit. Jadi bagi anda yang sudah berumahtangga, ketahuilah anda sudah ada satu markah untuk memohon dana bank.
2. Tukar gaya hidup
Susah jika ia sudah biasa dan seronok diamalkan. Te­ta­pi sesi karaoke itu wajarkah diamalkan, melainkan anda betul-betul menjadikan bidang nyanyian sebagai punca pendapatan. Jadi yang saja berkaraoke hen­dak lepaskan geram, boleh diku­rangkan. Itu satu contoh sahaja.
Saya sarankan apa sahaja perbe­lan­jaan tinggi sama ada untuk hiburan atau sukan, jika boleh, kita korbankan demi mencapai matlamat memiliki rumah. Permainan seperti golf, kembara kenderaan pacuan empat roda dan lain-lain. Mahal semuanya itu. Kembalikan semula hanya sesudah memiliki rumah dan pendapatan stabil.
3. Tamatkan hutang kad kredit
Antara aspek yang bank teliti dalam permohonan pembiayaan anda ialah berapa liabiliti semasa. Hutang kereta, hutang kad kredit dengan gaji anda, bagi mencari ruang tambahan bagi anda membuat pembayaran bulanan gadai janji rumah.
Jadi, langkah terbaik ialah uruskan dulu hal hutang kad kredit terutamanya, kerana ia 'beranak’ 18 peratus setahun. Soal keperluan kad kredit, itu anda fikir sendirilah. Malas hendak tazkirah orang yang suka berbelanja di luar kemampuan.
4. Sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah
Ada masanya anda dikemukakan peluang membeli rumah tetapi anda tidak teruskan kerana pelbagai ala­san seperti tiada ilmu atau tiada maklumat. Helo! Semua maklumat yang dimahukan itu boleh dipero­leh secara dalam talian, kalau malas sangat sekali pun hendak bertanya orang. Jika berterusan memberi alasan 'tidak berani’, anda mung­kin terlepas peluang.
Sama seperti kisah seorang kenalan yang menga­ku berasa rugi kerana tidak mengendahkan iklan rumah teres RM300,000 di Shah Alam pada 2001. Pada 2005, harga rumah itu sudah naik RM450,00 dan kini berlegar sekitar RM600,000. Pada harga RM400,000 sekarang yang ada di Shah Alam hanyalah apartmen. Rumah teres tiada lagi.
5. Berani ambil risiko
Kadang-kadang ada bagusnya mengambil risiko membeli rumah, walaupun gaji cukup-cukup sahaja. Kisahnya seorang lagi kenalan, membeli rumah RM300,000 juga 12 tahun lalu, setelah ditolak segala hutang lain termasuk makan minum, baki duit pada tangan hanya RM200. Duit itu boleh diguna untuk te­ngok wayang, karaoke atau apa sahaja, tetapi cukup-cukup sahaja. Tidak lebih. Janji ada.
Cuma ia rumit bila kereta rosak, dan kosnya melebihi RM200. Maka kad kredit digunakan. Tetapi kemungkinan negatif itu jarang-jarang berlaku. Percayalah, jika berani ambil risiko dan meng­amalkan keempat-empat per­kara yang digariskan di atas iaitu kahwin, tamatkan hutang kad kredit, tukar gaya hidup dan sentiasa ikuti perkembangan pasa­ran rumah, Insya-Allah anda boleh memiliki rumah. Syed, boleh tak?
SUMBER: Utusan Melayu (M) Bhd 

"GOLONGAN INI ENGGAN MASUK KE SYURGA", SABDA NABI MUHAMMAD



Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan memasuki syurga melainkan mereka yang enggan, "Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, lantas siapakah yang enggan?" Nabi SAW menjawab: "Sesiapa yang taat kepadaku akan memasuki syurga dan sesiapa yang mengingkariku bererti dia enggan masuk syurga."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.Hadith :7280)
Matan hadith :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى.
]صحيح البخاري ,كتاب الاعتصام بالكتاب والسنة , باب الاقتداء بسنن رسول الله صلى الله عليه وسلم, رقم الحديث[7280
Pengajaran Hadith :
  1. Umat Nabi SAW disebut sebagai “Umat Dakwah” kerana umat ini dipertanggungjawabkan meneruskan usaha dakwah yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW.
  2. Setiap umat Nabi SAW akan memasuki syurga apabila mereka menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan sebagai umat Nabi SAW dan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi SAW dalam kehidupan mereka.
  3. Apabila umat Nabi SAW meninggalkan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan meninggalkan Sunnah Nabi SAW maka mereka telah mengingkari Nabi SAW dan menjauhkan diri mereka daripada memasuki syurga Allah SWT yang kekal abadi selama-lamanya. 
Sumber rujukan :
1. Kitab Sahih al-Bukhari
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi
3. Kitab Faidhu al-Qadir Syarh al-Jamie al-Soghir Li al-Manawi

HINDARI HATI YANG MATI DENGAN...


HATI adalah penggerak dan tunjang utama segala kemahuan. Ada pengetahuan tanpa kemahuan, tidak memberi sebarang erti. Justeru, setiap sesuatu perkara yang berlaku bersandar kepada hati. Saat hati punya kekuatan, ia akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Dari An Nu’man bin Basyir RA, Nabi SAW bersabda mafhumnya : “Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati (jantung)” (HR Bukhari).
Sepertimana tubuh bisa letih, hati juga begitu. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu menekankan kepentingan punya hati yang segar dan tips latihan keletihan  hati dapat di hindar.
Hati umpama pusat pertempuran antara nafsu dan akal. Mujahadah hati melawan nafsu terlalu besar dan terkadang membebankannya.  Allah SWT berfirman mafhumnya : “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), Karena Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53).
Medan pertempuran dengan nafsu ini tidak pernah mengenal erti lelah. Tiada rehat dan tidak pernah ada masa untuk genjatan senjata. Maka, situasi itu memungkinkan hati menjadi letih.
Rasa jemu, lesu, bosan dan kosong malas serta rasa dukacita tanpa diketahui puncanya adalah antara tanda hati sudah menjadi letih. Tatkala hati dan jiwa itu letih, ia berat untuk melakukan kebaikan dan ketaatan.
Walau angota serta jasad masih kuat, namun jika hati sudah penat solat terasa berat melaksanakannya tidak terlarat. Segalanya begitu kelat. Walau harta setinggi gunung, zakat mahupun sedekah yang sedikit pun tidak tertanggung akibat keletihan hati yang tidak dapat di bendung. Terkadang, majlis ilmu terhidang di depan mata malah percuma. Tetapi, tidak diberi kelapangan masa kerana hati tidak teruja. Maka, masa terbuang sia-sia.
Kaki yang sihat tidak dapat membawa diri ke masjid. Bayangkan, bagaimana kaki yang sama ini nanti akan membawa diri ke syurga, jika menjengah masjid pun sukar kala di dunia. Sungguh, jarak antara rumah ke masjid tidak ditentukan oleh kaki tetapi ia ditentukan oleh jarak hati.
Mujahadah itu memenatkan dan meletihkan hati. Menurut kata ulamak, hati yang letih dapat diukur kala ketaatann tidak lagi terasa manis dan kesal selepas melakukan kemaksiatan. Hati dan jiwa yang berbolak-balik inilah yang memenatkan.
Panduan untuk menembalikan kesegaran hati adalah dengan kembali kepada si Pemilik Hati iaitu Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: Dan (Hud berkata), “wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”. (Surah Hud, ayat 52).
Menerusi ayat tersebut, Allah akan menambahkan kekuatan atas kekuatan yang ada dengan syarat memperbanyakkan istighfar: memohon ampun dan taubat atas dosa. Hasil daripada taubat itu Allah akan turunkan hujan (yang amat diperlukan dan dikehendaki oleh kaum Hun pada waktu itu). Di samping itu, asbab taubat tersebut Allah akan tambahkan kekuatan kepada kekuatan yang sedia ada. Akhir sekali, jagalah diri dan hati daripada berpaling dengan berbuat dosa kepada Allah SWT.
Sungguh, hati akan berpaling menerusi dua perkara. Pertama, ketika hati berpaling dan jauh daripada Allah Yang Maha Kuat dan Maha Berkuasa. Faktor kedua, hati yang kotor dengan dosa. Ia menepati hadis Rasulullah SAW mafhumnya: “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka timbullah sebuah titik hitam pada hatinya. Apabila ia meninggalkannya, meminta ampun dan bertaubat, maka hatinya akan dibersihkan. Jika ia kembali berbuat dosa maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Justeru, jika inginkan kuat banyakkan bertaubat. Jika mahukan hati yang segar pertingkatkan istighfar. Taubat dan istighfar bukan hanya pada dosa tetapi pada setiap masa.
SUMBER: IKIM

PERANAN KITA DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA


ISLAM menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan bantu-membantu antara satu sama lain sebagai ahli keluarga sendiri. Ini merupakan  konsep kehidupan yang perlu dilaksanakan oleh seluruh  masyarakat Islam. Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Aku berpesan kepada umatku baik yang hadir mahupun yang tidak hadir, mahupun yang kini mereka masih berada dalam tulang sulbi ayah atau rahim ibu mereka hingga hari kiamat, hendaklah mereka menjalin silaturahim dengan sanak-saudara dan kerabat mereka, kerana silaturahim merupakan sebahagian dari agama.”
Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak-anak, semuanya tanggungjawab suami. Untuk itu, ilmu di dada mestilah penuh, daya tahan iman yang utuh, dan stamina amal yang teguh selain menuntut kemahiran dan kesabaran dalam mendidik. Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikuti acuan Nabi Muhammad SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan  perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh para ketua keluarga. Menginginkan  sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni adalah impian semua manusia. Pertama, adalah dengan memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas aqidah Islam. Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Allah SWT berfirman   yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). ( Surah at -Tahrim,  ayat 6) .Sebagai seorang ketua keluarga mereka perlulah mempamerkan contoh atau teladan yang baik dalam keluarga untuk didikuti dan dicontohi oleh anak-anak  dan isteri serta menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah.Namun, pada hari ini, kita sering melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak kian meruncing akibat daripada masyarakat yang kurang menjiwai dan menjaga akhlak sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan  Baginda SAW. Oleh itu, dalam mendepani situasi sedemikian tanggungjawab ketua keluarga  tidak boleh dipandang enteng dan sangat besar dalam  menjadi Qudwah Hasanah atau contoh yang baik bagi menjamin kebahagiaan dalam institusi keluarga.
Seterusnya, sebagai ketua keluarga, seseorang bapa atau suami tersebut mestilah berusaha sedaya upaya mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan isteri . Setiap makanan  dan minuman yang diberikan kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging. Jika makanan itu  diperolehi daripada sumber yang tidak halal sama ada makanan tersebut sendiri  yang tidak halal atau dibeli dengan cara yang tidak halal maka ia  akan merosakkan jiwa kita, anak-anak dan isteri. Ia juga akan memberi kesan kepada pembentukan akhlak anak-anak. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi ketua keluarga menjaga punca rezeki serta makanan  mereka supaya cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab neraka.
Anak-anak  diibaratkan seperti kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak mereka. Ini bermakna ibu bapa harus bertindak sebagai teraju utama dalam membentuk sahsiah anak-anak yang merupakan asas dalam pembinaan masyarakat penyayang. Ketua keluarga juga harus memperuntukkan masa untuk bersama ahli keluarga kerana ia  adalah amat penting dalam institusi rumah tangga. Masa dianggap sebagai penting untuk kita mengambil berat tentang anak-anak agar mereka tidak merasa kesunyian ketika mereka mengahadapi masalah dalam perlajaran,  persekitaran dan sebagainya. Suami juga mesti meluangkan masa yang sebaiknya untuk isteri dengan berbincang masalah yang timbul dalam rumahtangga  agar masalah berkenaan mampu diselesaikan dengan baik.
Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong  dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak . Bayangkan   jika seorang ayah tiada  rasa  cInta pada anak , mereka akan melihat anak tersebut umpama kayu dan batu.  Bahkan mereka mungkin akan menyifatkan anak sebagai beban yang menyusahkan. Dalam hal ini, sebagai ketua keluarga , cubalah berkongsi pengalaman dan membina kasih sayang dengan memhami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dengan mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka.Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah SWT. Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga ialah apabila setiap anggotanya membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu adalah usaha kita. Ambil masa dan marilah kita renung sejenak firman Allah SWT yang bermaksud “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga), dan kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.(Surah At- Tur, ayat 21).

SUMBER: IKIM