Tampilkan postingan dengan label semasa. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label semasa. Tampilkan semua postingan

5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG



Kebanyakan masa bila sahabat handai bertanya soalan serius ini, saya tertanya juga apakah mereka menganggap saya ini pencipta Waze. Letak saja alamat, mesti tahu arah tuju.
Advertisement
"Betulkah rumah akan turun harga tahun depan?’’ soal Syed dengan muka penuh pengharapan. Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan kerajaan bahawa sektor hartanah negara ini mengalami situasi 'tidak laku’ dan fakta, betapa harga rumah sekarang melam­pau-lampau.
Yang diistilahkan 'mampu milik’ pun berada di paras RM400,000 sebuah. Berapa gaji minimum anda kena miliki untuk layak dapat pinjaman bank atau gadai janji (mortgage)? Dan katakanlah bank hanya memberi kemudahan 95 peratus. Mana hendak cari RM20,000 untuk bayaran tunai.
Harga rumah melambung-lambung ini sememangnya menjadi isu semasa negara. Ia dibicarakan oleh rakyat di semua peringkat. Golongan marhain mengeluh, kelas pertengahan merengus dan golongan politik dilihat senantiasa berbahasa kiasan.
Paling kelakar bila kumpulan pemaju pula beria-ia tampil dengan kenyataan 'sektor hartanah diyakini kembali pulih tidak lama lagi’. Maksudnya ialah harga semasa yang ditangisi rakyat sebagai 'mahal’ tidak sesekali akan diturunkan.
Itu bacaan saya terhadap industri perumahan sekarang. Inilah berita negatif saya kepada Syed. Mungkin dia tidak menduga menerima maklum balas saya, walaupun berulang kali juga saya ingatkan bahawa mungkin sebaliknya akan berlaku, siapa tahu. Mungkin benar turun. Lagi pun saya bukan pakar. Sekadar meneliti trend semasa dan pendapat penganalisis, lalu dirangkum dan dirumuskan.
Tetapi mengambil kira semua faktor langsung dan tidak langsung dalam industri perumahan seperti kos pem­binaan, kos hartanah dan siapnya aliran MRT di Lembah Klang, ayat 'harga turun’ tidak mungkin ditemui dalam iklan rumah.
Tidak mahu menekan terlalu lama bab harga ini, saya cuba menasihati Syed untuk menangani masalah ini secara berdepan. "Ini tiada dalam manual atau buku panduan membeli rumah. Ini adalah daripada pengalaman,’’ ujar saya dalam 'nicotiana tabacum' kedua.
Syed, berikut adalah lima petua Merrepak untuk anda membeli rumah. Tidak wajib patuh. Tidak wajib akur. Memadai senyum, cukuplah.
1. Kahwin
Belum ada jodoh? Bagaimana hendak ada jodoh jika calon pun tiada. Tidak apa. Bukan hendak cerita hal jodoh pun. Tetapi berkahwin juga bermakna percantuman dua ekonomi suami isteri.
Pendapatan seisi rumah ini menjadi kriteria yang baik ketika memohon pembiayaan pembelian rumah, berbanding seorang. Lebih-lebih lagi bank sekarang yang mengetatkan syarat kelayakan.
Sudahlah rumah mahal, bank pula ketat. Peritlah ekonomi negara dibuatnya. Serba-serbi sakit. Jadi bagi anda yang sudah berumahtangga, ketahuilah anda sudah ada satu markah untuk memohon dana bank.
2. Tukar gaya hidup
Susah jika ia sudah biasa dan seronok diamalkan. Te­ta­pi sesi karaoke itu wajarkah diamalkan, melainkan anda betul-betul menjadikan bidang nyanyian sebagai punca pendapatan. Jadi yang saja berkaraoke hen­dak lepaskan geram, boleh diku­rangkan. Itu satu contoh sahaja.
Saya sarankan apa sahaja perbe­lan­jaan tinggi sama ada untuk hiburan atau sukan, jika boleh, kita korbankan demi mencapai matlamat memiliki rumah. Permainan seperti golf, kembara kenderaan pacuan empat roda dan lain-lain. Mahal semuanya itu. Kembalikan semula hanya sesudah memiliki rumah dan pendapatan stabil.
3. Tamatkan hutang kad kredit
Antara aspek yang bank teliti dalam permohonan pembiayaan anda ialah berapa liabiliti semasa. Hutang kereta, hutang kad kredit dengan gaji anda, bagi mencari ruang tambahan bagi anda membuat pembayaran bulanan gadai janji rumah.
Jadi, langkah terbaik ialah uruskan dulu hal hutang kad kredit terutamanya, kerana ia 'beranak’ 18 peratus setahun. Soal keperluan kad kredit, itu anda fikir sendirilah. Malas hendak tazkirah orang yang suka berbelanja di luar kemampuan.
4. Sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah
Ada masanya anda dikemukakan peluang membeli rumah tetapi anda tidak teruskan kerana pelbagai ala­san seperti tiada ilmu atau tiada maklumat. Helo! Semua maklumat yang dimahukan itu boleh dipero­leh secara dalam talian, kalau malas sangat sekali pun hendak bertanya orang. Jika berterusan memberi alasan 'tidak berani’, anda mung­kin terlepas peluang.
Sama seperti kisah seorang kenalan yang menga­ku berasa rugi kerana tidak mengendahkan iklan rumah teres RM300,000 di Shah Alam pada 2001. Pada 2005, harga rumah itu sudah naik RM450,00 dan kini berlegar sekitar RM600,000. Pada harga RM400,000 sekarang yang ada di Shah Alam hanyalah apartmen. Rumah teres tiada lagi.
5. Berani ambil risiko
Kadang-kadang ada bagusnya mengambil risiko membeli rumah, walaupun gaji cukup-cukup sahaja. Kisahnya seorang lagi kenalan, membeli rumah RM300,000 juga 12 tahun lalu, setelah ditolak segala hutang lain termasuk makan minum, baki duit pada tangan hanya RM200. Duit itu boleh diguna untuk te­ngok wayang, karaoke atau apa sahaja, tetapi cukup-cukup sahaja. Tidak lebih. Janji ada.
Cuma ia rumit bila kereta rosak, dan kosnya melebihi RM200. Maka kad kredit digunakan. Tetapi kemungkinan negatif itu jarang-jarang berlaku. Percayalah, jika berani ambil risiko dan meng­amalkan keempat-empat per­kara yang digariskan di atas iaitu kahwin, tamatkan hutang kad kredit, tukar gaya hidup dan sentiasa ikuti perkembangan pasa­ran rumah, Insya-Allah anda boleh memiliki rumah. Syed, boleh tak?
SUMBER: Utusan Melayu (M) Bhd 

"GOLONGAN INI ENGGAN MASUK KE SYURGA", SABDA NABI MUHAMMAD



Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan memasuki syurga melainkan mereka yang enggan, "Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, lantas siapakah yang enggan?" Nabi SAW menjawab: "Sesiapa yang taat kepadaku akan memasuki syurga dan sesiapa yang mengingkariku bererti dia enggan masuk syurga."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.Hadith :7280)
Matan hadith :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى.
]صحيح البخاري ,كتاب الاعتصام بالكتاب والسنة , باب الاقتداء بسنن رسول الله صلى الله عليه وسلم, رقم الحديث[7280
Pengajaran Hadith :
  1. Umat Nabi SAW disebut sebagai “Umat Dakwah” kerana umat ini dipertanggungjawabkan meneruskan usaha dakwah yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW.
  2. Setiap umat Nabi SAW akan memasuki syurga apabila mereka menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan sebagai umat Nabi SAW dan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi SAW dalam kehidupan mereka.
  3. Apabila umat Nabi SAW meninggalkan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan meninggalkan Sunnah Nabi SAW maka mereka telah mengingkari Nabi SAW dan menjauhkan diri mereka daripada memasuki syurga Allah SWT yang kekal abadi selama-lamanya. 
Sumber rujukan :
1. Kitab Sahih al-Bukhari
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi
3. Kitab Faidhu al-Qadir Syarh al-Jamie al-Soghir Li al-Manawi

HINDARI HATI YANG MATI DENGAN...


HATI adalah penggerak dan tunjang utama segala kemahuan. Ada pengetahuan tanpa kemahuan, tidak memberi sebarang erti. Justeru, setiap sesuatu perkara yang berlaku bersandar kepada hati. Saat hati punya kekuatan, ia akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Dari An Nu’man bin Basyir RA, Nabi SAW bersabda mafhumnya : “Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati (jantung)” (HR Bukhari).
Sepertimana tubuh bisa letih, hati juga begitu. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu menekankan kepentingan punya hati yang segar dan tips latihan keletihan  hati dapat di hindar.
Hati umpama pusat pertempuran antara nafsu dan akal. Mujahadah hati melawan nafsu terlalu besar dan terkadang membebankannya.  Allah SWT berfirman mafhumnya : “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), Karena Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53).
Medan pertempuran dengan nafsu ini tidak pernah mengenal erti lelah. Tiada rehat dan tidak pernah ada masa untuk genjatan senjata. Maka, situasi itu memungkinkan hati menjadi letih.
Rasa jemu, lesu, bosan dan kosong malas serta rasa dukacita tanpa diketahui puncanya adalah antara tanda hati sudah menjadi letih. Tatkala hati dan jiwa itu letih, ia berat untuk melakukan kebaikan dan ketaatan.
Walau angota serta jasad masih kuat, namun jika hati sudah penat solat terasa berat melaksanakannya tidak terlarat. Segalanya begitu kelat. Walau harta setinggi gunung, zakat mahupun sedekah yang sedikit pun tidak tertanggung akibat keletihan hati yang tidak dapat di bendung. Terkadang, majlis ilmu terhidang di depan mata malah percuma. Tetapi, tidak diberi kelapangan masa kerana hati tidak teruja. Maka, masa terbuang sia-sia.
Kaki yang sihat tidak dapat membawa diri ke masjid. Bayangkan, bagaimana kaki yang sama ini nanti akan membawa diri ke syurga, jika menjengah masjid pun sukar kala di dunia. Sungguh, jarak antara rumah ke masjid tidak ditentukan oleh kaki tetapi ia ditentukan oleh jarak hati.
Mujahadah itu memenatkan dan meletihkan hati. Menurut kata ulamak, hati yang letih dapat diukur kala ketaatann tidak lagi terasa manis dan kesal selepas melakukan kemaksiatan. Hati dan jiwa yang berbolak-balik inilah yang memenatkan.
Panduan untuk menembalikan kesegaran hati adalah dengan kembali kepada si Pemilik Hati iaitu Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: Dan (Hud berkata), “wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”. (Surah Hud, ayat 52).
Menerusi ayat tersebut, Allah akan menambahkan kekuatan atas kekuatan yang ada dengan syarat memperbanyakkan istighfar: memohon ampun dan taubat atas dosa. Hasil daripada taubat itu Allah akan turunkan hujan (yang amat diperlukan dan dikehendaki oleh kaum Hun pada waktu itu). Di samping itu, asbab taubat tersebut Allah akan tambahkan kekuatan kepada kekuatan yang sedia ada. Akhir sekali, jagalah diri dan hati daripada berpaling dengan berbuat dosa kepada Allah SWT.
Sungguh, hati akan berpaling menerusi dua perkara. Pertama, ketika hati berpaling dan jauh daripada Allah Yang Maha Kuat dan Maha Berkuasa. Faktor kedua, hati yang kotor dengan dosa. Ia menepati hadis Rasulullah SAW mafhumnya: “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka timbullah sebuah titik hitam pada hatinya. Apabila ia meninggalkannya, meminta ampun dan bertaubat, maka hatinya akan dibersihkan. Jika ia kembali berbuat dosa maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Justeru, jika inginkan kuat banyakkan bertaubat. Jika mahukan hati yang segar pertingkatkan istighfar. Taubat dan istighfar bukan hanya pada dosa tetapi pada setiap masa.
SUMBER: IKIM

PERANAN KITA DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA


ISLAM menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan bantu-membantu antara satu sama lain sebagai ahli keluarga sendiri. Ini merupakan  konsep kehidupan yang perlu dilaksanakan oleh seluruh  masyarakat Islam. Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Aku berpesan kepada umatku baik yang hadir mahupun yang tidak hadir, mahupun yang kini mereka masih berada dalam tulang sulbi ayah atau rahim ibu mereka hingga hari kiamat, hendaklah mereka menjalin silaturahim dengan sanak-saudara dan kerabat mereka, kerana silaturahim merupakan sebahagian dari agama.”
Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak-anak, semuanya tanggungjawab suami. Untuk itu, ilmu di dada mestilah penuh, daya tahan iman yang utuh, dan stamina amal yang teguh selain menuntut kemahiran dan kesabaran dalam mendidik. Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikuti acuan Nabi Muhammad SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan  perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh para ketua keluarga. Menginginkan  sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni adalah impian semua manusia. Pertama, adalah dengan memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas aqidah Islam. Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Allah SWT berfirman   yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). ( Surah at -Tahrim,  ayat 6) .Sebagai seorang ketua keluarga mereka perlulah mempamerkan contoh atau teladan yang baik dalam keluarga untuk didikuti dan dicontohi oleh anak-anak  dan isteri serta menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah.Namun, pada hari ini, kita sering melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak kian meruncing akibat daripada masyarakat yang kurang menjiwai dan menjaga akhlak sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan  Baginda SAW. Oleh itu, dalam mendepani situasi sedemikian tanggungjawab ketua keluarga  tidak boleh dipandang enteng dan sangat besar dalam  menjadi Qudwah Hasanah atau contoh yang baik bagi menjamin kebahagiaan dalam institusi keluarga.
Seterusnya, sebagai ketua keluarga, seseorang bapa atau suami tersebut mestilah berusaha sedaya upaya mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan isteri . Setiap makanan  dan minuman yang diberikan kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging. Jika makanan itu  diperolehi daripada sumber yang tidak halal sama ada makanan tersebut sendiri  yang tidak halal atau dibeli dengan cara yang tidak halal maka ia  akan merosakkan jiwa kita, anak-anak dan isteri. Ia juga akan memberi kesan kepada pembentukan akhlak anak-anak. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi ketua keluarga menjaga punca rezeki serta makanan  mereka supaya cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab neraka.
Anak-anak  diibaratkan seperti kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak mereka. Ini bermakna ibu bapa harus bertindak sebagai teraju utama dalam membentuk sahsiah anak-anak yang merupakan asas dalam pembinaan masyarakat penyayang. Ketua keluarga juga harus memperuntukkan masa untuk bersama ahli keluarga kerana ia  adalah amat penting dalam institusi rumah tangga. Masa dianggap sebagai penting untuk kita mengambil berat tentang anak-anak agar mereka tidak merasa kesunyian ketika mereka mengahadapi masalah dalam perlajaran,  persekitaran dan sebagainya. Suami juga mesti meluangkan masa yang sebaiknya untuk isteri dengan berbincang masalah yang timbul dalam rumahtangga  agar masalah berkenaan mampu diselesaikan dengan baik.
Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong  dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak . Bayangkan   jika seorang ayah tiada  rasa  cInta pada anak , mereka akan melihat anak tersebut umpama kayu dan batu.  Bahkan mereka mungkin akan menyifatkan anak sebagai beban yang menyusahkan. Dalam hal ini, sebagai ketua keluarga , cubalah berkongsi pengalaman dan membina kasih sayang dengan memhami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dengan mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka.Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah SWT. Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga ialah apabila setiap anggotanya membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu adalah usaha kita. Ambil masa dan marilah kita renung sejenak firman Allah SWT yang bermaksud “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga), dan kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.(Surah At- Tur, ayat 21).

SUMBER: IKIM
PERCERAIAN: KETAHUI TAKRIFAN CERAI MENURUT ISLAM!!

PERCERAIAN: KETAHUI TAKRIFAN CERAI MENURUT ISLAM!!

  • Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkawinan yang sah mengikut syariat Islam

    • Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui 5 cara iaitu:
  • 1. Cerai Talaq

    • Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.

      Talaq dibahagi kepada dua iaitu:

      i) Talak sharih (langsung)

      Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas dan eksplisit yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." kepada isteri.

      ii) Talak kinayah (tidak langsung, implisit) 

      Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya ayat, "Pulanglah pada orang tuamu!" yang dilafaz oleh suami.

      Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.
  • 2. Cerai Ta'liq

    • Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.

      Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara', tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri.

      Contoh lafaz ta'liq selepas akad nikah:

      “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'.”
  • 3. Cerai Khulu'

    • Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.

      Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

      Apa itu talaq ba'in sughra?

      Hukum yang ditimbulkan oleh khulu’ adalah talaq ba'in sughra yang memberi maksud, hilangnya hak rujuk pada suami selama masa ‘iddah.

      Bererti, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu.

      Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain.
  • 4. Cerai Fasakh

    • Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

      Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

      Contohnya apabila:

      i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut
      ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita
      iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya
      iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri

      Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.
  • 5. Cerai Li'an

    • Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

      Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

      Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

      Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

      Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.
    • SUMBER: SAYS

20 CARA MENJEMPUT REZEKI DATANG PADA KITA!!


Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka."
 (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Menjauhi Dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi s.a.w.:
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)
4. Mengingati Allah
Mengingati Allah membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)
5. Berbakti Dan Mendoakan Ibu Bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
6. Berbuat Baik Dan Menolong Orang Yang Lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)
7.Tunaikan Hajat Orang Lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya..." (Riwayat Muslim)
8. Berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
9. Amal Kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10. Seawal Pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Mengeratkan Silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi Kekal Berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi Solat Malam (Tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)
17. Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan fahaman tentang agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar
Siapa berusaha, dia akan berjaya. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)
Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
SUMBER : JAIS