Tampilkan postingan dengan label tips. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label tips. Tampilkan semua postingan

5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG



Kebanyakan masa bila sahabat handai bertanya soalan serius ini, saya tertanya juga apakah mereka menganggap saya ini pencipta Waze. Letak saja alamat, mesti tahu arah tuju.
Advertisement
"Betulkah rumah akan turun harga tahun depan?’’ soal Syed dengan muka penuh pengharapan. Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan kerajaan bahawa sektor hartanah negara ini mengalami situasi 'tidak laku’ dan fakta, betapa harga rumah sekarang melam­pau-lampau.
Yang diistilahkan 'mampu milik’ pun berada di paras RM400,000 sebuah. Berapa gaji minimum anda kena miliki untuk layak dapat pinjaman bank atau gadai janji (mortgage)? Dan katakanlah bank hanya memberi kemudahan 95 peratus. Mana hendak cari RM20,000 untuk bayaran tunai.
Harga rumah melambung-lambung ini sememangnya menjadi isu semasa negara. Ia dibicarakan oleh rakyat di semua peringkat. Golongan marhain mengeluh, kelas pertengahan merengus dan golongan politik dilihat senantiasa berbahasa kiasan.
Paling kelakar bila kumpulan pemaju pula beria-ia tampil dengan kenyataan 'sektor hartanah diyakini kembali pulih tidak lama lagi’. Maksudnya ialah harga semasa yang ditangisi rakyat sebagai 'mahal’ tidak sesekali akan diturunkan.
Itu bacaan saya terhadap industri perumahan sekarang. Inilah berita negatif saya kepada Syed. Mungkin dia tidak menduga menerima maklum balas saya, walaupun berulang kali juga saya ingatkan bahawa mungkin sebaliknya akan berlaku, siapa tahu. Mungkin benar turun. Lagi pun saya bukan pakar. Sekadar meneliti trend semasa dan pendapat penganalisis, lalu dirangkum dan dirumuskan.
Tetapi mengambil kira semua faktor langsung dan tidak langsung dalam industri perumahan seperti kos pem­binaan, kos hartanah dan siapnya aliran MRT di Lembah Klang, ayat 'harga turun’ tidak mungkin ditemui dalam iklan rumah.
Tidak mahu menekan terlalu lama bab harga ini, saya cuba menasihati Syed untuk menangani masalah ini secara berdepan. "Ini tiada dalam manual atau buku panduan membeli rumah. Ini adalah daripada pengalaman,’’ ujar saya dalam 'nicotiana tabacum' kedua.
Syed, berikut adalah lima petua Merrepak untuk anda membeli rumah. Tidak wajib patuh. Tidak wajib akur. Memadai senyum, cukuplah.
1. Kahwin
Belum ada jodoh? Bagaimana hendak ada jodoh jika calon pun tiada. Tidak apa. Bukan hendak cerita hal jodoh pun. Tetapi berkahwin juga bermakna percantuman dua ekonomi suami isteri.
Pendapatan seisi rumah ini menjadi kriteria yang baik ketika memohon pembiayaan pembelian rumah, berbanding seorang. Lebih-lebih lagi bank sekarang yang mengetatkan syarat kelayakan.
Sudahlah rumah mahal, bank pula ketat. Peritlah ekonomi negara dibuatnya. Serba-serbi sakit. Jadi bagi anda yang sudah berumahtangga, ketahuilah anda sudah ada satu markah untuk memohon dana bank.
2. Tukar gaya hidup
Susah jika ia sudah biasa dan seronok diamalkan. Te­ta­pi sesi karaoke itu wajarkah diamalkan, melainkan anda betul-betul menjadikan bidang nyanyian sebagai punca pendapatan. Jadi yang saja berkaraoke hen­dak lepaskan geram, boleh diku­rangkan. Itu satu contoh sahaja.
Saya sarankan apa sahaja perbe­lan­jaan tinggi sama ada untuk hiburan atau sukan, jika boleh, kita korbankan demi mencapai matlamat memiliki rumah. Permainan seperti golf, kembara kenderaan pacuan empat roda dan lain-lain. Mahal semuanya itu. Kembalikan semula hanya sesudah memiliki rumah dan pendapatan stabil.
3. Tamatkan hutang kad kredit
Antara aspek yang bank teliti dalam permohonan pembiayaan anda ialah berapa liabiliti semasa. Hutang kereta, hutang kad kredit dengan gaji anda, bagi mencari ruang tambahan bagi anda membuat pembayaran bulanan gadai janji rumah.
Jadi, langkah terbaik ialah uruskan dulu hal hutang kad kredit terutamanya, kerana ia 'beranak’ 18 peratus setahun. Soal keperluan kad kredit, itu anda fikir sendirilah. Malas hendak tazkirah orang yang suka berbelanja di luar kemampuan.
4. Sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah
Ada masanya anda dikemukakan peluang membeli rumah tetapi anda tidak teruskan kerana pelbagai ala­san seperti tiada ilmu atau tiada maklumat. Helo! Semua maklumat yang dimahukan itu boleh dipero­leh secara dalam talian, kalau malas sangat sekali pun hendak bertanya orang. Jika berterusan memberi alasan 'tidak berani’, anda mung­kin terlepas peluang.
Sama seperti kisah seorang kenalan yang menga­ku berasa rugi kerana tidak mengendahkan iklan rumah teres RM300,000 di Shah Alam pada 2001. Pada 2005, harga rumah itu sudah naik RM450,00 dan kini berlegar sekitar RM600,000. Pada harga RM400,000 sekarang yang ada di Shah Alam hanyalah apartmen. Rumah teres tiada lagi.
5. Berani ambil risiko
Kadang-kadang ada bagusnya mengambil risiko membeli rumah, walaupun gaji cukup-cukup sahaja. Kisahnya seorang lagi kenalan, membeli rumah RM300,000 juga 12 tahun lalu, setelah ditolak segala hutang lain termasuk makan minum, baki duit pada tangan hanya RM200. Duit itu boleh diguna untuk te­ngok wayang, karaoke atau apa sahaja, tetapi cukup-cukup sahaja. Tidak lebih. Janji ada.
Cuma ia rumit bila kereta rosak, dan kosnya melebihi RM200. Maka kad kredit digunakan. Tetapi kemungkinan negatif itu jarang-jarang berlaku. Percayalah, jika berani ambil risiko dan meng­amalkan keempat-empat per­kara yang digariskan di atas iaitu kahwin, tamatkan hutang kad kredit, tukar gaya hidup dan sentiasa ikuti perkembangan pasa­ran rumah, Insya-Allah anda boleh memiliki rumah. Syed, boleh tak?
SUMBER: Utusan Melayu (M) Bhd 

GARIS PANDUAN JAKIM UNTUK MELUPUSKAN ALQURAN YANG LAMA



Pelupusan

Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain, serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.

Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam di tempat yang dikawal.

Cara pembakaran adalah seperti yang berikut:

 (a) Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
 (b) Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayatayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
(c) Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya.
 (d) Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama Islam atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut 12. Termasuk dalam Garis Panduan ini ialah hadis-hadis nabi dan doa-doa yang mengandungi gabungan ayat-ayat suci al-Quran atau nama-nama Allah di dalamnya.

SUMBER: JAKIM

"JADILAH SEPERTI GULA" BAGAIMANA GULA MENGAJARKAN KITA TENTANG HIDUP?


SAIDATINA Aisyah r.a bertanyakan kepada Rasulullah SAW “bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia?” baginda Rasulullah SAW menjawab “ dengan akalnya” saidatina Aisyah bertanya lagi “bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat” baginda Rasulullah SAW menjawab lagi “dengan akalnya” lantas Aisyah r.a bertanya “bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya?” Lalu baginda Rasulullah menjawab “seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Menerusi rancangan Islam itu Indah di IKIMfm hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata amat penting cara seseorang berfikir kerana fikiran kita amat mempengaruhi hati kita. Begitu juga dalaman diri kita menentukan luaran kita, kerana seseorang yang hatinya tidak tenang tidak akan mampu tersenyum dengan ikhlas atau bertindak dengan baik.
Pada waktu-waktu tertentu hati mencorakkan cara kita berfikir tetapi dalam banyak waktu, akal menentukan corak dan bentuk fikiran dan seterusnya hati kita, sebab itu golongan bijak pandai menyebut akal itu pelita bagi hati, ada juga menyatakan akal itu telinga bagi hati, Jika apa yang didengar dan dilihat itu adalah perkara yang baik nescaya seseorang itu akan dapat menuai sebanyak mungkin kebaikan. Begitu juga jika seseorang itu memenuhi ruang fikirannya dengan kejernihan ilmu dan cara berfikir yang baik nescaya akan dapat menghasilkan corak pemikiran yang positif dan berfaedah sahaja.
Pakar psikologi menyebut, manusia sering bazirkan masanya kepada perkara yang sama. Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun setiap orang yang mendapat hasil yang bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna. Sebagai contoh seorang yang jahat kemudian  berubah menjadi orang alim yang baik. Ianya berlaku kerana proses-proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang-orang alim, banyak menuntut ilmu dan yang paling utama adalah kerana proses mujahadah dan istiqamah yang dilalui sehingga hasilnya dapat menjadi seorang insan yang baik dan berilmu.
Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari itu akan menentukan hasil yang akan kita perolehi. Sekiranya dalam waktu-waktu yang kita miliki hanya dibazirkan dengan perkara yang sia-sia, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa kejayaan melainkan hanya kegagalan. Pakar menyebut, kegagalan seseorang itu disebabkan oleh tidak menggunakan waktu dengan sebijaknya. Orang yang berjaya akan menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu yang serius, kuat bekerja, rajin mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah SWT.
Antara perbuatan yang menentukan kita memperolehi hasil kejayaan bagi diri kita ialah bagaimana cara kita berfikir. Corak fikiran yang positif akan mempengaruhi hati yang stabil dan seterusnya mempengaruhi setiap tindak tanduk kita. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengawal corak fikiran kita kerana ianya mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal kita ambil.
Cerdik pandai menyebut kita adalah fikiran kita dan bukan apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif dan baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak fikirannya. Ertinya di sini, apa yang kita fikir, yang diucap melalui mulut, digerakkan melalui rasa dan emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan itulah yang disebut sebagai corak fikiran kita bukan perasaan atau penilaian kita terhadap diri sendiri.
Hakikatnya, kita sendiri boleh membuat penilaian terhadap diri sendiri, iaitu sepanjang hari berapa banyak kita bersangka baik terhadap orang lain? Sejauhmana kita positif dengan persekitaran kita? dan bagaimana kita berdepan dengan situasi-situasi yang dilalui?. Sebagai contoh seperti gula dan semut dalam situsi berhubung rezeki. Ada orang berfikir mahu seperti semut iaitu gigih dan rajin dalam mencari rezeki. Namun ada pula yang berfikir cara yang lain iaitu seperti gula. Cara berfikir seperti gula tentunya akan berfikir dan bertindak bagaimana yang perlu dilakukan untuk ‘memaniskan’ diri agar dengan bertindak baik dan ‘manis’ itu akan menarik lebih banyak rezeki yang datang.
Oleh itu, kita akan selalu bertindak baik, berfikiran baik akan setiap perlakuan dan kata-kata kita seperti gula yang manis yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain yang datang kepada kita dan seterusnya boleh mendatangkan rezeki buat kita juga.
Begitulah dalam hidup ini, dalam apa juga peranan kita di muka bumi ini sama ada sebagai seorang anak, suami atau isteri atau sesiapa sahaja. Dalam mengejar bahagia dalam rumahtangga umpamanya jangan mencari bahagia itu dalam perkahwinan sebaliknya jadikan perkahwinan itu sebagai jalan ibadah untuk mencapai kebahagiaan. Begitulah corak kita berfikir, jadilah seperti gula yang sentiasa memberi rasa manis sehingga menarik perhatian sesiapa sahaja dan akhir natijahnya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

SUMBER:IKIM

WAHAI ISTERI, BACALAH INI AGAR MENJADI ISTERI YANG SOLEHAH


Memegang status seorang isteri bukan sesuatu yang mudah kerana tanggungjawab yang digalas amat berat. Ini kerana wanita yang bergelar isteri seterusnya menjadi seorang ibu mempunyai peranan yang besar dalam memastikan kehidupan keluarga bahagia dan seterusnya berperanan dalam pembinaan insan yang berjaya..
Kehidupan yang mencabar pada hari ini menuntut golongan isteri untuk lebih fokus terhadap kerukunan rumahtangga agar tidak tersasar daripada perkara- perkara yang boleh membawa kegagalan dalam perkahwinan mereka.
Semua wanita mahukan kebahagiaan dalam perkahwinan, memiliki anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Namun, dalam mencari kebahagiaan, isteri sering meletakkan syarat kebahagiaan ke atas bahu suami, contohnya jika suami baik baharulah kehidupan rumahtangga akan bahagia, namun jika sebaliknya rumahtangga tidak akan menemui kebahagiaan.
Menurut Pakar Motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm jam 10.15 Jumaat lalu, wanita yang meletakkan syarat kebahagiaan hanya kepada suami tidak akan mengecapi kehidupan yang baik dalam perkahwinan kerana suami dan isteri harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membina prinsip hidup ke arah mencapai kebahagiaan.
Dengan ini, perlu bagi seseorang isteri melakukan transformasi diri dengan tidak hanya meletakkan aspek luaran semata sebagai prinsip kebahagiaan, sebaliknya menekankan aspek yang lebih bersifat kerohanian. Oleh itu, Prof. Dr Muhaya menyarankan beberapa prinsip penting sebagai tonggak utama dalam membina kehidupan rumahtangga yang cemerlang.
Pertama, sebagai seorang isteri atau ibu, wanita harus membina semangat yang lebih positif, seperti sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki. Begitu juga melatih ahli keluarga untuk fokus terhadap apa yang ada, bukan apa yang tidak ada. Perasaan sentiasa bersyukur dengan anugerah Allah ini membuat hati merasa lebih lapang kerana minda kita tidak akan terganggu dengan keinginan yang tinggi terhadap perkara yang bukan menjadi milik kita.
Prinsip kedua utama dalam rumahtangga ialah  seorang isteri harus peka tentang pemakanan yang seimbang untuk ahli keluarganya. Makanan yang baik akan menentukan keluarga sihat sejahtera. Apabila seseorang isteri yang mempunyai kesihatan yang baik, suami dan anak-anak juga sihat, keluarga akan bertambah ceria dan gembira. Oleh itu, penting bagi wanita memahami tentang nutrisi dan menyediakan pemakanan yang terbaik untuk ahli keluarganya.
Isteri juga harus menjadi agen kesihatan bukan hanya fizikal tetapi mental dan spritual. Mempunyai emosi yang seimbang, kesihatan fizikal yang baik, dan kekuatan kerohanian yang tinggi, adalah penting dalam pembinaan akhlak seorang isteri yang unggul. Ini kerana, isteri atau ibu adalah idola bagi anak-anak dan sumber kekuatan bagi keluarga untuk mengharungi kehidupan yang penuh cabaran.
Prinsip ketiga, isteri hendaklah sentiasa fokus untuk mencapai bahagia. Ini bererti seorang wanita itu hendaklah sentiasa menanam azam untuk menjadi sumber kebahagiaan kepada keluarganya. Orang yang bahagia akan mendapat kebahagiaan dan memberikannya kepada orang lain. Orang yang penuh kasih sayang akan memberi keseluruhan kasih sayangnya terhadap orang lain. Sebab itu, seorang isteri haruslah sentiasa fokus untuk membina tenaga bahagia dalam dirinya. kerana dengan itu,dapat menghasilkan sebuah kehidupan yang bermakna.
Menurut Prof Dr. Muhaya, kita hendaklah selalu menekankan tentang hidup yang saling memberi dan berkongsi. Contohnya memberi kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan orang lain akan menambahkan lagi barakah dalam kehidupan kita dan keluarga.
Terapkan nilai murni dalam diri dan tumpukan kepada matlamat dalam perkahwinan seperti mendidik anak, menguruskan rumahtangga atau apa sahaja yang membawa kebahagiaan kepada keluarga dan perkahwinan adalah tugas yang perlu diberi keutamaan.
Begitu juga dalam membuat pilihan dan menentukan keputusan yang  betul. Sekiranya ada ujian atau masalah sekalipun, ianya tidak menjejaskan proses kehidupan kita, malah kita lebih tabah menghadapi setiap ketentuanNya kerana percaya setiap yang Allah berikan itu adalah yang terbaik untuk kita.
Prinsip keempat, jadilah seorang yang pemaaf. Jangan biarkan kesilapan masa lalu membelenggu minda kita. Ini kerana, orang yang sentiasa diawasi oleh kisah silam membuatkan minda menjadi sempit. Seseorang yang dikawal oleh kesilapan masa lalu membuatnya menjadi tidak bermotivasi untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Begitu juga dengan orang yang takut dengan masa hadapannya, menjadikan dirinya tidak dapat mencapai kebahagiaan sebagaimana yang diharapkan.
Dalam konteks ini seorang isteri atau ibu harus selalu berlapang dada dan akur atas kekurangan diri sendiri dan pasangannya. Jangan terlalu mengharap suami dan anak-anak begitu ideal sehingga kita tidak boleh menerima kesilapan dan kekurangan mereka. Mempunyai perspektif yang lebih terbuka membuat hati merasa lebih lapang.
Prinsip kelima adalah hidup dalam kesedaran, kerana isteri yang bahagia selalu bermuhasah diri dan memperbetulkan kesilapannya. Menjadi penasihat yang baik kepada anak-anak dan seterusnya merancang hidup yang seimbang dan tersusun.
Setiap orang dalam dunia ini mempunyai masalah tertentu, sesiapapun tidak akan terlepas dari melalui ujian hidup, sama ada ujian anak-anak nakal, ujian kesihatan, suami yang malas, atau apa juga ujian yang membuatkan kita merasa tersepit untuk menikmati bahagia. Namun, jika kita melihat masalah itu sebagai halangan ia akan menjadi tekanan kepada kita. Jika kita melihat sesuatu masalah sebagai suatu proses kehidupan, setiap permasalahan yang berlaku dapat dilalui dengan lebih tabah.
Apa yang penting besarkan minda kita kerana minda yang besar akan melihat masalah menjadi kecil, apabila kita merasa setiap masalah itu hanya sebagai perspektif, nescaya kita akan dapat menerima permasalahan dengan pandangan yang positif.
Transformasi diri amat penting kepada semua orang terutama wanita yang bergelar isteri. Ini kerana, isteri atau ibu yang bahagia akan memberikan kebahagiaan kepada seluruh ahli keluarganya. Bayangkan setiap pagi jika isteri tersenyum bahagia, suami dan anak-anak akan merasa gembira. Isteri yang penuh kelembutan dalam tutur bicara menyejukkan jiwa ahli keluarga, isteri yang sihat sejahtera akan menjadi sumber kekuatan sesiapa sahaja.
Seorang wanita yang sentiasa menggerakkan dirinya untuk mencari kebaikan dalam hidup tidak akan bergerak secara keseorangan. Mereka turut melibatkan suami dan anak-anak atau sesiapa di sekelilingnya untuk bersama-sama memulakan langkah dengan selalu meningkatkan diri dengan kefahaman ilmu agama kerana itulah yang akan mencorak masa depan perkahwinan yang bahagia.
SUMBER:IKIM

IBUBAPA PERLU BACA!!! TABIAT BURUK REMAJA DAN CARA MENGATASI NYA!!


BERUNTUNGLAH bagi mereka yang dapat kekal di dalam pegangan beragama pada saat berada di penghujung kehidupan masing-masing. Namun bagi mereka yang terpesong atau terseleweng daripada jalan agama, maka pada waktu tersebut mereka akan berada di dalam keadaan yang merugikan diri mereka sendiri. Peringatan daripada Allah SWT, agar manusia tidak mati kecuali benar-benar beriman kepada-Nya, malah barangsiapa yang mencari selain daripada Islam di dalam hidupnya, dia tidak akan diterima oleh Allah.
Dalam rancangan Mauizati yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang, al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyebut bahawa apabila berhadapan dengan keremajaan, ada beberapa tabiat yang dikesan oleh para alim ulama supaya manusia memastikan keluarga mereka terselamat daripada tabiat-tabiat buruk. Di antara tabiat buruk yang lazim berlaku di kalangan remaja ialah meninggalkan solat dan tidak menjaga aurat. Namun mereka yang diberi hidayah Allah tidak tergolong di kalangan remaja tersebut. Saat remaja penuh dengan kegembiraan, tetapi pada ketika usia inilah mereka harus menjaga diri kerana baharu memasuki usia akil baligh. Solat merupakan asas di dalam agama dan harus diterapkan di dalam diri remaja, ia juga merupakan tiang agama. Oleh itu sesiapa yang membiarkan dirinya tidak menunaikan solat, maka dia telah menghancurkan agama.
Ramai di kalangan remaja apabila terlibat di dalam hiburan dan sesuatu yang melekakan termasuklah pekerjaan atau permainan, mereka terdorong untuk meninggalkan solat. Adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk memastikan mereka menjaga solat dan berikan peringatan yang menginsafkan keluarga tentang bahaya meninggalkannya. Selain itu, pada usia remaja jugalah mereka lebih gemar membuka aurat yang seterusnya akan mengundang fitnah yang banyak. Setiap perkara yang dilakukan tidak seharusnya mengambil ringan tentang aurat mereka kerana ia akan mendatangkan dosa yang berpanjangan dan beri penjelasan kepada anak-anak remaja tentang kesan buruk daripada perbuatan membuka aurat tersebut. Malah ramai di kalangan umat Rasulullah dihumban ke dalam neraka berpunca daripada keingaran mereka untuk mematuhi perintah Allah untuk menjaga aurat. Sesungguhnya secara tidak langsung, dengan menjaga aurat maka maruah diri turut terpelihara dan memiliki kehidupan yang lebih mulia kerana ditinggikan darjat mereka disisi Allah SWT.
Tabiat lain yang dilakukan oleh kalangan remaja ialah mula mencuba untuk melakukan perkara mungkar dan keji iaitu merokok. Ibu-bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan perbuatan ini kerana ia juga merupakan asas yang akan mendorong kepada perbuatan maksiat yang lain termasuklah menghisap dadah, ganja, menghidu gam dan lain-lain. Perbuatan merokok diharamkan oleh majlis fatwa dan para ulama sendiri, kerana ia mendatangkan mudarat yang besar dan membahayakan kesihatan kepada manusia. Zaman remaja bukan waktunya untuk merosakkan anggota tubuh badan, tetapi sebaliknya merupakan masa membina fizikal dan tubuh badan yang sihat serta kekuatan dalaman mereka. Malah tabiat merokok turut mendatangkan kesan yang buruk kepada kewangan kerana dibazirkan untuk membeli rokok. Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya agar tidak membahayakan diri dan orang lain. Jangan sesekali mencampakkan diri di dalam kebinasaan kerana amalan merokok juga mengakibatkan ketagihan yang lebih buruk.
Selain itu, pada usia remajalah mereka memulakan tabiat untuk menonton dan membaca bahan-bahan lucah yang akan mendorong mereka melakukan perkara-perkara seperti onani, atau memuaskan nafsu sendiri. Bahayanya keadaan ini memberi kesan kepada tubuh badan mereka menjadi lesu, tidak mampu menguruskan diri dengan baik dan mempunyai semangat diri yang sangat lemah. Malah ia turut mendatangkan masalah yang lebih besar seperti hubungan seks di bawah umur, pelacuran, lemah nafsu syahwat dan lain-lain masalah sosial.
Untuk mengatasi masalah ini, para ulama turut menggalakkan perkahwinan pada usia muda untuk mengekang nafsu yang tidak baik daripada menguasai diri mereka, malah ia juga dapat menjadikan mereka lebih bertanggungjawab setelah berumahtangga. Ia juga mengelakkan mereka daripada tenggelam di dalam percintaan yang terlarang dan melekakan. Jika tidak mampu berkahwin, mereka digalakkan berpuasa sunat dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menimbulkan nafsu syahwat itu sendiri. Ini termasuklah menjaga batas pergaulan, menutup aurat dengan sempurna dan tidak terpengaruh dengan budaya luar yang menggalakkan mendedah aurat di atas tuntutan fesyen dan sebagainya. Isilah masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membaca al-quran, berada di dalam halaqah ilmu, membaca buku yang menceritakan sirah alim ulama, ramaikan sahabat-sahabat yang salih dan elakkan daripada leka dengan laman sosial dan melayari laman sesawang yang menonjolkan akhlak yang buruk.
Rasulullah SAW memberi petunjuk untuk melihat agama seseorang, iaitu dengan melihat siapakah kalangan sahabat-sahabatnya kerana mereka yang baik agamanya memilih untuk mendampingi kawan-kawan yang baik. Untuk menjadi remaja yang baik, ibu-bapa perlu memupuk mereka agar menanam perasaan takut kepada Allah SWT. Setiap perlakuan yang dilakukan mereka akan terbukti pada Hari Akhirat kelak di hadapan Allah dan setiap anggota tubuh akan menjadi saksi kepada setiap amalan dan perkara buruk yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu.
Remaja juga mudah terjebak di dalam perlakuan suka mabuk dan berkhayal, malah suka melakukan zina serta liwat.  Oleh itu mereka perlu diberi didikan sewajarnya dan perhatian yang serius oleh ibu-bapa kerana ia turut memberi kesan buruk kepada masyarakat. Tanggungjawab mendidik anak-anak tidak harus dilepaskan kepada pihak lain kerana ia mengundang bahaya apabila menularnya penyakit di kalangan remaja yang terlibat dan ia juga akan menyebabkan tersebarnya gejala yang tidak baik sehingga menyebabkan masyarakat itu sendiri dihancurkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Israa’, ayat ke-16: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

SUMBER:IKIM
"BACA DOA SEBELUM MASUK HUTAN", LELAKI INI BERKONGSI PENGALAMAN BERTUGAS SEBAGAI RENJER HUTAN

"BACA DOA SEBELUM MASUK HUTAN", LELAKI INI BERKONGSI PENGALAMAN BERTUGAS SEBAGAI RENJER HUTAN