BANYAK orang berpendapat bahawa di dalam dunia ini, selain daripada manusia, terdapat pula sejenis makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat zatnya, tapi boleh dilihat kesan-kesan dan kegiatannya yang berhubung dengan manusia dalam berbagai-bagai bidang hidup yang lain. Di samping itu makhluk ghaib juga mempunyai satu kebolehan istimewa, iaitu boleh memberitahu hal-hal ghaib dan boleh menjelma ke dalam tubuh manusia. Di samping itu makhluk yang ghaib juga mempunyai satu kebolehan istimewa, iaitu boleh memberitahu hal-hal yang ghaib dan boleh menjelma ke dalam tubuh manusia bercakap dengan lidahnya dan bergerak dengan gerak gerinya.
Di samping itu manusia pula mempunyai jampi mentera yang dapat memanggil makhluk ghaib itu bila dikehendaki dan boleh mempergunakannya untuk maksud menyampaikan kehendak-kehendak mereka dan untuk mendapatkan berita-berita yang tertentu. Makhluk ghaib itu terkenal dengan nama jin menurut panggilan manusia dan kitab suci.
Di samping pendapat ini terdapat pula satu golongan yang berpendapat, tidak ada dalam dunia ini, selain manusia, satu makhluk yang mempunyai sifat-sifat seperti tadi. Hanya manusia sahaja yang ada di dunia ini.
Kedua-dua pendapat ini merupakan aliaran-aliran pemikiran manusia dalam hal kebendaan dan kerohanian.
Di tengah-tengah pertentangan pendapat-pendapat yang melampau itu, datanglah kitab-kitab suci membuat penjelasan secara sederhana tentang makhluk jin itu. Kitab-kitab suci mengaku adanya jin dan ada pula sifat-sifatnya yang tertentu, tetapi ia menafikan sifat-sifat jin yang diada-adakan oleh fikiran manusia yang melampau-lampau itu.
Kitab-kitab suci menjelaskan dengan tegas bahawa di dalam dunia ini, selain manusia, terdapat pula sejenis makhluk yang tidak dapat dilihat tubuhnya dan tidak dapat diketahui hakikatnya. Ia menyebutkan makhluk-makhluk ini dengan nama-nama khasnya. Ia menyebut makhluk malaikat sambil menerangkan bahawa kepercayaan kepada adanya malaikat ini merupakan salah satu dari rukun iman, ia menyebut kerja-kerja malaikat dengan ditail dan menyifatkan malaikat itu sebagai makhluk yang sentiasa patuh kepada perintah Allah.
-“Mereka tidak membantah apa yang diperintahkan oleh Allah dan mereka melaksanakan segala perintah yang disuruhkan kepada mereka”. Al-Quran.
Kitab-kitab suci juga menyebut tentang makhluk jin yang sama setanding dengan manusia dalam menerima taklif dan bertanggungjawab atas segala perbuatan mereka. Ia menghadapkan seruan-seruannya kepada mereka sama seperti ia menghadapkan seruan-seruannya kepada manusia.
-“Wahai sekalian jin dan manusia, tidakkah sudah datang kepada kamu utusan Allah dari kalangan kamu yang menjelaskan pengajaran-pengajaran-Ku kepada kamu dan mengingatkan kamu tentang pertemuan dengan hari pengadilan ini. Al-Aa’am :130.
-“Wahai jin dan manusia, jika kamu berdaya menembusi daerah-daerah-daerah langit dan bumi, maka tembusikanlah, tapi kamu tidak akan dapat menembusinya melainkan dengan kekuatan”. Ar-Rahman: 33.
-“Kami akan adili kamu wahai jin dan manusia”. Ar-Rahman: 31
Dengan penjelasan al-Quran dan kitab suci tentang adanya makhluk jin itu, bererti bahawa sikap menafikan adanya makhluk-makhluk itu merupakan satu pendustaan terhadap kenyataan Allah S.W.T.
Dengan kesimpulan ini, sesiapa yang tidak percaya kepada makhluk jin bererti tidak percaya kepada al-Quran dan perutusan-perutusan dari Allah. Dan sebarang percubaan untuk menakwilkan keterangan-keterangan yang jelas ini merupakan satu perbuatan hendak memesongkan nas-nas al-Quran dan merupakan satu cara kotor dari orang-orang yang suka mengengkarikan sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh pancainderanya.
Keterangan al-Quran berhubung dengan perhubungan jin dengan manusia tidak lebih dari hubungan dengan “membisikkan keraguan dan melakukan hasutan” seperti yang selalu berlaku dalam hubungan manusia dengan sesama mereka. Sebagaimana terkandung dalam firman Allah:
“Katakanlah aku minta perlindugan dengan Tuhan sekalian manusia, dengan Raja sekalian manusia, dengan Tuhan sekalian manusia dari kejahatan pembisik-pembisik yang selalu bersembunyi, yang membisikkan keraguan di dalam hati manusia dari jin dan manusia”. An-Nas: 1-6.
Bacalah percakapan syaitan- menurut al-Quran syaitan adalah dari bangsa jin. Al-Quran menjelaskan:
“Dan berkatalah syaitan sesudah diputuskan hukuman [di hari kiamat], sesungguhnya Allah telah membuat perjanjian yang benar dengan kamu, lalu aku menyalahi janji dengan kamu. Aku tidak mempunyai kekuasaan di atas kamu. Cuma aku hanya mengajak kamu lalu kamu sahuti ajakanku. Dari itu janganlah kamu menyalahkan aku, malah salahkan dirimu sendiri”. Ibrahim: 22.
Dengan keterangan itu terbuktilah bahawa jin tidak dapat berbuat apa-apa kepada manusia selain daripada mengajak, berjanji, membisikkan keraguan dan melakukan godaan-gpdaan.
Allah berfirman: “Lalu syaitan menggoda mereka berdua [Adam dan Hawa]. Al-‘Araf: 20.
-“Berkatalah syaitan, oleh kerana Engkau telah sesatkan aku, maka aku akan menghasut mereka di bumi ini, dan aku akan sesatkan seluruh mereka”. Al-Hijr: 39.
Al-Quran selanjutnya telah menerangkan bahawa orang-orang yang dapat dipengaruhi oleh bisikan dan godaan jin itu ialah orang-orang yang lemah akal fikiran dan iman sahaja, sedangkan orang yang kuat akal dan iman adalah terhindar jauh dari pengaruh mereka.
Firman Allah: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang jujur tidak dapat engkau [jin] mempengaruhi mereka, kecuali orang yang mengikutimu dari orang-orang yang sesat”. Al-Hijr: 42.
Selain dari kerja-kerja membisikkan keraguan dan membuat hasutan ini, seperti menampakkan diri kepada manusia dengan rupa aslinya atau dengan rupa pejlemaan, atau masuk ke dalam tubuh manusia dan menguasai pamcainderanya, atau kemungkinan manusia menggunakan jin-jin itu untuk mendapat sesuatu kebaikan atau menolak sesuatu bala, atau kebolehan memanggil mereka bila mustahak, atau kebolehan mengetahui perkara[-perkara ghaib dengan perantaran mereka, atau kebolehan berkahwin dan bergaul dengan mereka dan sebagainya dari cerita-cerita yang begitu lumrah diperkatrakan orang, maka semuanya datang dari sumber-sumber luar, bukan dari sumber Hadis dan al-Quran yang diyakini kebenarannya.
Banyak orang percayakan cerita-cerita seperti itu, sehingga sampai kepada ahli-ahli fiqah sendiri. Mereka bukan sahaja percayakan cerita-cerita itu, malah menjadikan cerita-cerita itu sebagai asas untuk memperlakukan banyak hukum-hukum agama. Ada di antara mereka yang mengeluarkan pendapat sah berkahwin dengan jin, wajib mandi bila bersetubuh dengan mereka. Sah bersembahayang jumaah dengan mereka, hukum makan penyembelihan mereka dan lain-lain lagi yang terdapat dalam kitab-kitab fiqah atau dalam kitab-kitab yang khusus membicarakan jin.
Menurut hemat saya, apa yang dilakukan oleh ahli-ahli feqah itu adalah semata-mata satu latihan undang-undang yang memang menjadi kebiasaan mereka membuatnya andaian kejadian yang tidak diduga boleh berlaku. Andaian-andaian yang dibuat oleh mereka itu tidaklah selayaknya dijadikan alasan kepastian berlakunya. Biarlah kita tinggalkan mereka dengan andaian-andaian mereka itu dan kita sendiri tetap berpegang dengan keterangan al-Quran.
Menurut keterangan al-Quran perkahwinan yang penuh kasih mesra itu ialah perkahwinan di antara sejenis kejadian [manusia sesama manusia]. Firman Tuhan:
-“Allah jadikan dari jenis kamu itu suami isteri dan Allah jadikan dari kelamin-kelamin kamu anak-anak dan cucu-cucu”. An-Nahl: 72.
-Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Ia menjadikan isteri-isteri dari jenis kamu, agar kamu merasa mesra terhadapnya. Ar-Rum: 21
Dari keterangan ini yakinlah bahawa pendapat yang mengatakan tentang kemungkinan berkahwin dengan jin itu adalah suatu pendapat yang tidak betul.
Al-Quran juga telah mengisahkan cerita-cerita jin yang terang-terang menafikan bahawa mereka mengetahui perkara-perkara ghaib. Firman Tuhan:
“Kami [kata jin] tidak tahu samada hendak didatangkan kecelakaan kepada penduduk bumi atau Tuhan mereka bermaksud mengurniakan petunjuk kepada mereka”. Jinn: 10].
Firman Tuhan lagi:
“Bila dia [Nabi Sulaiman] rebah ternyatalah kepada jin-jin itu, iaitu andainya mereka tahu perkara ghaib tentulah mereka tidak berada di dalam keseksaan yang teruk itu”. Saba’: 14.
Dari keterangan-keterangan ini nyatalah bahawa jin itu tidak mengetahui perkara ghaib, dan tidak boleh menyakiti manusia dengan perhubungan dan penjelamaan-npenjelmaannya.
Walau pun begitu banyak bomoh-bomoh tukang catut menanamkan kepercayaan-kepercayaan yang karut marut pada orang-orang yang lemah iman dan bodoh. Mereka mengatakan jin itu masuk ke dalam tubuh manusia dan merekalah orang yang boleh mengeluarkannya. Dan dari sini timbullah rekaan permainan zar [seperti permainan petri di Kelantan], mereka mengaku boleh menggunakan jin-jin di dalam menimbulkan kasih dan benci, menyebabkan berkahwin dan bercerai, boleh membawa kebajikan dan menolak bala. Mereka mendakwa menggunakan jin untuk mencari barang-barang yang hilang atau meramalkan perkara-perkara yang akan berlaku dan mengubat orang-orang yang sakit sehingga menjadi satu mata pencarian hidup yang lumayan dengan menipu manusia. Mereka telah merosakkan kehidupan orang ramai dan memesongkan mereka dari usaha-usaha secara tabie.
Dari situ orang ramai tidak seharusnya membiarkan tukang-tukang catut itu membodohkan akal mereka, malah mereka harus menentangi dan membersihkan masyarakat dari mereka.
Sumber : pondokrahmat
EmoticonEmoticon