Ibu Bapa dan Bakal Ibu Bapa Wajib Tahu. Nyawa anak melayang jika anda terleka




Semalam dikhabarkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun meninggal dunia selepas jatuh  dari tingkat tiga sebuah kuarters guru di Shah Alam pada Ahad lalu. Muhammad Syafiq Shyahmi Mohammad Sauffi jatuh dari tingkap Blok C kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun kira-kira pukul 5 petang.

Dikatakan mangsa sedang bermain ketika kejadian dan ahli keluarganya tidak sedar mangsa memanjat meja kecil yang diletakkan berdekatan tingkap. Muhammad Syafiq Shyahmi terjatuh kerana jeriji besi tingkap berkenaan longgar. Laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk tulang tengkoraknya retak. Ibu dan bapa tiri mangsa berada di rumah ketika kejadian.

Sungguh tragis mendengar berita itu semalam. Mengapa ibu bapanya begitu cuai tidak melihat bahawa si kecil ini sedang bermain seorang diri di luar. Itu bukan kisah baru, jika diteliti sepanjang tahun lalu juga, ramai kanak-kanak yang mengalami kemalangan begini. Bermain tanpa pengawasan orang tua hingga mengakibatkan jatuh dan meninggal dunia.

Sepatutnya sebagai ibu bapa, jangan sesekali lepas pandangan anak-anak dari mata. Awasi mereka tidak kira ketika di mana berada. Boleh jadi kemalangan berlaku di jalan raya, pusat beli belah, kolam renang ataupun di rumah sendiri.

KRONOLGI  KEMALANGAN MEMBABITKAN KANAK-KANAK:

29 Januari 2017

BIDOR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dipercayai tergelincir ke dalam sungai dalam kejadian di Kampung Simpang 3, Sungai Gedung, di sini, tengah hari tadi. Mangsa, Nur Liya Zafirah Yusman dijumpai lebih kurang jam 12.45 tengah hari kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa.

26 Januari 2017

PONTIAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, maut setelah dihempap pintu pagar sebuah taska di Kampung Melayu Raya Pekan Nanas kira-kira jam 6.27 petang semalam.

15 Januari 2017

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mati lemas ketika sedang mandi bersama kembar dan dua abangnya di kolam sebuah hotel di sini petang semalam.

13 Disember 2016

GORONTALO - INDONESIA. Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun ditemui maut selepas disedut dan tersekat dalam sebuah paip air milik Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM), Sabtu lepas.

28 November 2016

KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menyambut hari kelahirannya semalam antara yang maut dalam kemalangan di Kilometer 26.0 Jalan Lok Heng - Mawai berhampiran kuari Simpang Waha yang turut meragut nyawa seorang bayi berusia setahun, petang semalam.

8 November 2016

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut setelah tergelincir daripada tingkat atas flat empat tingkat yang didiami keluarganya di Kulai, dekat sini semalam. 

28 Jun 2016

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga rumahnya di sebuah perumahan awam di Bandar Baru Sentul di sini, lewat malam tadi.

22 Jun 2016

BAYAN LEPAS- Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar kereta ibunya sendiri di Kampung Paya, Teluk Kumbar di sini malam tadi. Menurut pihak polis, ketika kejadian, ibu mangsa meninggalkan kereta jenis Rover di tempat meletak kereta dirumahnya dalam keadaan enjin tidak dimatikan. Ketika itu, mangsa hanya bersama kakaknya berusia 6 tahun berada di tempat meletak kereta berkenaan.

LANGKAH KESELAMATAN BASIC YANG PERLU IBU BAPA AMBIL TAHU:

1. Jangan biarkan anak bermain sendirian tanpa pengawasan.

2. Pastikan pintu rumah atau pagar sentiasa di tutup.

3. Pegang tangan anak ketika berada di luar terutama melintas jalan.

4. Pastikan tiada kanak berada di belakang ketika mengundur kereta.

5. Sentiasa berikan nasihat ringkas pada anak agar tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan.


SUMBER: SINAR ONLINE


EmoticonEmoticon