Apakah Hukum Lelaki Atau Wanita Melakukan Onani?


Assalamualaikum, Apakah Hukum melakukan onani?
Berikut adalah jawapan yang pernah diberikan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi :-
Kadang-kadang darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan nama onani (bahasa Arabnya: istimta' atau adatus sirriyah).
Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:
"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Al-Mu'minun: 5-7)
Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.
Sedang Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahawa mani adalah barang lebihan. Oleh karena itu boleh dikeluarkan, seperti memotong daging lebih.
Pendapat ini diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberikan Batas kebolehannya itu dalam dua perkara:
  1. Karena takut berbuat zina.
  2. Karena tidak mampu kawin.
Pendapat Imam Ahmad ini memungkinkan untuk kita ambil dalam keadaan gharizah (nafsu syahwat) itu memuncak dan dibimbangkan akan jatuh ke dalam haram. Misalnya seorang pemuda yang sedang belajar atau bekerja di tempat lain yang jauh dari negerinya, sedang pengaruh-pengaruh di hadapannya terlalu kuat dan dia bimbang akan berbuat zina. Karena itu dia tidak berdosa menggunakan cara ini (onani) untuk meredakan bergeloranya gharizah tersebut dan supaya dia tidak berlaku zina.
Tetapi yang lebih baik dari itu semua, ialah seperti apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan menguatkan kedekatan untuk bertaqwa dan keyakinan terhadap penyelidikan (muraqabah) Allah kepada setiap jiwa seorang mu'min. Untuk itu Rasuluilah s.a.w. bersabda sebagai berikut:
"Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Riwayat Bukhari)
Dipetik dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam
Walaupun demikian, berikut adalah ulasan lanjut saya ( sila buka ) :-
Terlalu banyak persoalan berkenaan onani ini. Kotak email dan ruangan komentar di web saya ini juga tidak terlepas dari pertanyaan seumpama ini. Ada sebahagiannya terpaksa saya dan admin 'delete' kerana bahasa dan bentuk soalannya yang kurang sesuai.
Antara soalan-soalannya :-
1)      " ...ustaz, saya ada masalah yang menimpa diri saya semalam iaitu saya telah melakukan onani di siang hari bulan ramadhan."
2)      "Assalammualaikum... Saya sudah berumur 24 tahun, saya sering beronani sebelum ini sehinggakan dalam satu hari pernah saya buat perkara keji ini sampai 3 kali oleh sebab terasa ghairah melihat perempuan yang seksi. 
3)      "Saya tidak dapat menahan lalu saya melihat gambar porno untuk memuaskan nafsu saya dengan cara beronani. Dan ini pernah berlaku pada siang hari di bulan ramadhan.apa yang saya perlu buat dan apakah hukumnya serta hukumannya."
4)      "Saya juga ada masalah pasal onani ni oleh kerana terlalu menyesal dah perbuatan saya, saya telah bernazar untuk berpuasa 1 hari bagi setiap kali saya beronani."
5)      "Salam..ustaz adakah beronani perlu mandi wajib? apa bezanya air mazi dan mani?adakah kedua2 tu ada pada perempuan? harap ustaz dapat jelaskan.terima kasih"
6)      "Salam, saya sudah berkahwin tetapi tinggal berjauhan dengan isteri..kadang kala apabila teringatkan isteri saya, saya merasa ghairah dan kadang kala sehingga melakukan onani..apakah hukumnya?"


gelora nafsu memamah umat Islam kini  

Sebeban Alasan
Dalam masa yang sama, adakalanya terlalu banyak pula alasan dan sebab yang diberikan oleh si penanya dengan harapan saya atau mana-mana individu yang ditanya akan mengatakan harus baginya.
"Seolah-olah ingin menjadikan kita sebagai jambatannya 'ke neraka', then kat akhirat dok tuding jari kepada kita" kata seorang rakan saya yang juga seorang penceramah aktif di Lembah Klang.
Selain hukum khas bagi perbuatan tidak sihat ini. Lebih dari itu, kebanjiran soalan-soalan sebegini menyebabkan saya menjadi semakin bimbang dengan keadaan umat Islam di Malaysia terutamanya.
Virus Bermula
Ia secara langsung menunjukkan umat Islam samada lelaki dan wanita sedang menghidap sindrom lemah kawalan nafsu syahwat seksual terhadap perkara nafsu syahwat yang haram.
Melayani syahwat dengan cara haram adalah salah satu punca kehancuran kemanisan solat, tanpa kemanisan solat, runtuhlah 'tiang agama' dalam diri seseorang, tatkala itu nafsu kebinatangan dan syaitan akan mula menguasai sehingga lahirlah manusia binatang seperti pembunuh Nurin Jazlin dan lain-lain.
Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.

ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها
Ertinya : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t  akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan)
Juga disebut dalam sebuah athar :

النظر سهم مسموم من سهام إبليس
Ertinya : "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis" ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7)
Malah ia juga bakal merosakkan hati :-

كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله
Ertinya : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t" ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)
Ketahuilah saudara-saudariku, melayani onani merupakan permulaan kehancuran hati seseorang. Merupakan salah satu permulaan kepada zina.
Ia sering diwarwarkan kononnya sebagai penyelamat dari zina, hakikatnya ia juga merupakan pintu mula kepada zina.
Ia adalah pintu mula seseorang berjinak dengan melayani nafsu syahwat seksual mereka tanpa menurut arahan Allah dan RasulNya. Nafsu yang tidak dikawal ini adalah sentiasa meminta lebih dan lagi, akhirnya akan menjerumus kepada menonton gambar pornografi, video, mengintai dan ditamatkan dengan zina yang tiada had kepuasannya. Memang itu sifat nafsu syahwat samada seksual ataupuan harta. Sekali ia dilayan, tiada lagi pintu puas.
Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-

لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ 
Ertinya : Sekrianya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )
Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius. Saya cuba memperkemaskan huraian berkenaan onani walaupun jawapan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi terhadap masalah Onani yang telah saya siarkan di web ini.
Kesimpulan pandangan terkuat oleh pelbagai kumpulan ulama mendapati bahawa hukum Onani adalah : -
1) satu perbuatan yang haram, tetapi ia bukanlah satu jenis dosa besar seperti zina, rasuah, riba, membunuh dan sebagainya.
Ia dianggap melepaskan nafsu bukan pada tempatnya, ia adalah ditegah oleh Allah s.w.t :-

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Ertinya :  "dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. ( Al-Mukminun : 5-7)
Allah menyifatkan orang yang memuaskan nafsunya dengan cara selain dengan isteri atau suami yang sah sebagai :-
  • a) Malumin : Ertinya : "tercela"
  • b) Al-'adun : Ertinya : " orang-orang yang melampaui batas"
2) Hukum dosa ini sememangnya boleh berubah menjadi tidak berdosa sekiranya ia dilakukan dalam keadaan dharurat iaitu di ketika tanpa melakukan seseorang akan PASTI terjerumus dalam kancah zina.
Perlu diingat dharurat di sini hanya adalah di ketika 'pasti akan terjerumus' iaitu tatkala kemudaratan zina itu benar-benar BOLEH BERLAKU seperti ia telah tahu di mana boleh mendapatkan pelacur, bohsia atau teman wanitanya, punyai tempat yang strategik untuk maksiat dan lain-lain.
Maksud saya, jika sekadar ia rasa ingin berzina sahaja tetapi ia tidak punyai teman wanita, ia tidak pernah tahu di mana mahu melanggani pelacur, atau kesimpulan tiada mempunyai idea sebenarnya bagaimana ingin merealisasikan niat jahat berzinanya, disamping masih tidak yakin ia boleh terjerumus ke lembah sehina itu. Hukum keringanan (rukhsah) sementara akibat terdesak dan bagi mengelak zina yang disebutkan oleh sebahagian ulama itu TIDAK boleh dipakai sewenang-wenangnya.
3) Hukum dosa ini boleh menjadi bertambah besar apabila ia menjadi tabiat dan amalan kebiasaan disebabkan tindakannya sendiri seperti menjadi kegemarannya untuk melihat gambar dan video lucah. Akibat dari tindakannya itu, ia terdorong ingin berzina lalu beronani. Tatkala itu, tindakan onaninya bukan lagi terdesak tetapi dirinya sendiri yang sengaja mendorong kepada terdesak itu.
Ia berbeza dengan seseorang yang terangsang syahwat akibat ternampak dan sukar mengelakkan pandangan matanya dari permandangan kurang elok di tempat kerja atau dalam perjalanannya ke tempat kerja dan pulang.
4) Hukum dosa atau haram melakukan onani bagi lelaki dan wanita juga menjadi bertambah serius apabila dapat disahkan perbuatan onani tadi mempunyai kesan negatif kepada kesihatan
Bagi menguatkan fatwa hukum, kenyataan doktor sakit tuan, Dr.Ismail Thamby boleh dijadikan panduan fakta iaitu :-
1) kesan buruk kepada kehidupan seksual apabila berumahtangga
Beliau menyebut :-
Jika anda lakukan onani secara luar biasa seperti melakukan rangsangan seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila beristeri, anda akan mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi kepuasan seperti anda kecapi secara onani.
Masalah ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome'. Yang menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar.
2) Tahap kesihatan kemaluan boleh terjejas hingga Mati Pucuk
Beliau menyebut :-
Selain itu, jika agak ganas dengan cara merangsang anggota sulit anda sehingga mengakibatkan anggota itu sakit dan bengkak, kemungkinan satu hari anda akan mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya.
Ini kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh diurut atau dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur faraj perempuan.
3) Boleh Mandul kerana kerosakan buah zakar lelaki
Beliau berkata :
Namun, saya ingin mengingatkan yang kerosakan buah zakar boleh berlaku pada bila-bila masa ketika melakukan onani, dan jika ia berlaku dan menjejaskan kilang sperma, sudah tentu anda akan mandul kerana sperma tidak lagi dihasilkan ‘kilang'.
Sebagai contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda teragut buah zakar atau mencederakan buah zakar.
Anda hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda akan menjadi mandul.
Sudah tentu perkara yang menyeronokkan sukar untuk dihentikan, kecuali berlaku sesuatu perkara yang memudaratkan seperti keradangan buah zakar, kecederaan zakar seperti kebengkakan zakar.
Bagaimanapun, ia sudah terlewat jika tiada cara perawatannya. Mungkin jika zakar terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan pembedahan atau penggunaan alat pemulih.
Namun, jika kilang sudah rosak dan buah zakar mengecil, tiada penawarnya. Jadi cuba kurangkan amalan onani, terutama secara kasar. Anda perlu ingat, anda hanya ada satu zakar, bukan sepasang. Jika zakar itu tidak berguna, hidup anda merana selama-lamanya!
Penutup
Sebagai akhirnya, antara fungsi Ramadhan adalah mendidik hati dan diri agar mampu mengawal nafsu berikut :-
  • 1) Nafsu marah apabila Nabi menegah kita dari melayani ajakan pergaduhan semasa berpuasa.
  • 2) Nafsu makan dan minum. Apabila kita di tegah makan dan minum di siang hari.
  • 3) Nafsu tidur. Apabila kita dianjurkan untuk bangun sahur.
  • 4) Nafsu Syahwat. Apabila kita diarahkan untuk elakkan ‘bersama' isteri di siang hari Ramadhan.
Amat diharapkan Ramadhan yang baru berlalu dapat menghasilkan kemampuan kekangan segala nafsu melampau dalam hal yang disebut di atas.
Teringat saya kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Dr Sano Qutoub Mustafa ( Prof Syariah di UIAM ) pada 19 Oktober yang lalu. Beliau mengatakan
"jika keadaan iman dan amalan anda selepas Ramadhan adalah sama atau lebih teruk dari sebelumnya, ia adalah tanda anda tidak mendapat keampunan Allah pada bulan Ramadhan yang lalu" 
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
11 Syawwal 1428 H


EmoticonEmoticon