Boleh kah syaitan mendengar doa di dalam hati?


Dari Ibn Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Sesungguhnya syaitan ada bisikan di hati anak Adam. Dan Malaikat juga ada bisikannya. Bisikan syaitan itu ialah dorongan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Bisikan malaikat pula menggalakkan kebaikan dan meyakini kebenaran. Oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik di dalam hatinya, maka ketahuilah ia dari Allah dan hendaklah bersyukur kepada Allah. Dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi (bisikan kejahatan) maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.”

(Riwayat Tarmizi dan An Nassai).

Dua perkara yang ada terlintas di dalam hati manusia: hendak melakukan perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Hadith ini menyatakan bahawa Malaikat bertugas membisikkan perkara yang baik ke dalam hati manusia. Sementara syaitan pula sentiasa membisikkan perkara yang buruk dan jahat.

Tegasnya malaikat sentiasa mendorong manusia melakukan yang baik, sedangkan syaitan sentiasa menghasut untuk melakukan kejahatan.

Malaikat mendorong manusia meyakini kebenaran, syaitan pula berusaha menyelewengkan manusia supaya menolak kebenaran.

Bisikan syaitan itu sama ada dorongan secara langsung atau ada rasa was-was dan juga ragu-ragu seperti disebut dalam surah An Nas.

‘Dia menimbulkan was-was di dalam dada manusia’.
Jika terasa lintasan kebaikan di dalam hati maka itu adalah dari Allah yang dibisikkan oleh malaikat ke dalam hati manusia. Maka hendaklah dia bersyukur dan meneruskannya.

Jika ada lintasan untuk melakukan kejahatan maka itu adalah dari syaitan. Segeralah beristighfar dan mohon perlindungan Allah dari godaan syaitan.


PENGAJARAN

1. Setiap orang beriman wajib percaya wujudnya malaikat dan jin sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

2. Ada malaikat yang bertugas membisikkan ke dalam hati manusia supaya melakukan kebajikan.

3. Iblis dan syaitan adalah makhluk Allah dari kumpulan jin.

4. Syaitan berusaha merosakkan manusia dengan membisikkan dalam hati mereka supaya melakukan kejahatan.

5. Setiap kali ada lintasan dalam hati untuk melakukan kebaikan dan meyakini kebenaran, hendaklah bersyukur serta terus melakukan kebaikan itu.

6. Setiap kali ada lintasan dalam hati untuk melakukan kejahatan, maka ia adalah hasutan syaitan. Hendaklah memohon perlindungan Allah dan menahan diri dari melakukannya.

7. Setiap kali terasa lintasan hati hendaklah dipertimbangkan dari sudut syarak supaya tidak mudah ditipu oleh syaitan yang sentiasa menjadi musuh manusia. 

sumber: Halaqah


EmoticonEmoticon