ACEH - INDONESIA. Ada peringatan daripada yang Maha Esa di sebalik kejadian gempa bumi yang melanda Aceh kali ini apabila lebih banyak masjid runtuh.
Demikian kata-kata yang diungkapkan oleh Ketua Panitia Masjid Jami Nur Abdullah, Gampong Paruh Keudeu, Kabupaten Pidie Jaya, Sahrul Abdullah yang mengulas kejadian itu.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan gempa bumi besar disertai tsunami pada 2004, sedikit sahaja masjid yang runtuh, namun keadaan berlaku sebaliknya dalam bencana kali ini.
"Nasihat orang tua dahulu, perbanyakkan kegiatan beragama dan penuhilah masjid-masjid yang ada. Faktanya sekarang, masjid tidak banyak ada kegiatan dan tidak dipenuhi oleh jemaahnya," kata Sahrul seperti dipetik Antara News.
Mengulas lanjut, Shahrul berkata, tindakan membina terlalu banyak masjid dalam satu daerah juga mungkin salah satu faktor, kerana dianggap tidak mematuhi saranan ulama dan orang tua dahulu yang mensyaratkan pembinaan satu masjid sahaja dalam satu daerah.
"Tapi sekarang setiap daerah mempunyai sampai dua, tiga masjid," kata Sahrul.
Katanya, ulama dahulu juga mengajarkan supaya pembangunan sesebuah masjid juga harus hasil daripada muafakat jemaah masjid.
"Setelah memenuhi syarat daripada Ulama atau tokoh adat itu, barulah sebuah masjid boleh dibangun," katanya.
Oleh itu ujarnya; "Ini adalah peringatan daripada ALLAH SWT kepada umatnya agar tidak sombong dan memenuhi kembali masjid-masjid yang ada.
Aceh sekali lagi dilanda gempa bumi berukuran 6.4 Skala Richter yang berlaku pada pagi Rabu 7 Disember lalu di daerah Pidiejaya, Aceh.
Kejadian menyebabkan lebih 100 mangsa maut dan beribu-ribu rakyat kehilangan tempat tinggal.
Sumber: Sinar Harian
EmoticonEmoticon