Hati Hati Dengan Rasuah yang Mungkin Tidak Kita Sedari




SYED Hussein Al-Attas dalam bukunya bertajuk Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi memetik tulisan Bendahara Kerajaan Turki abad ke-17 Masihi, Sari Mehmed Pasha, berkenaan rasuah: "Penyuapan adalah biang keladi dan akar segala pelanggaran hukum, sumber dan landasan segala macam gangguan dan benih-benih pemberontakan, kejahatan dan bencana yang paling besar.
Tidak ada yang membawa bencana lebih besar bagi rakyat negara Islam atau yang lebih merosak sendi-sendi agama dan pemerintahan daripada rasuah yang tidak ada habis-habisnya. Tidak ada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah, kerana penyuapan menghancurkan baik iman mahu pun negara".  (Syed Hussein al-Attas, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995) hal 302)

Perasuah hancur negara
Ya! Sebuah negara yang rasuah hidup subur dalamnya, dari pemimpin atasan hinggalah pegawai kerajaan, dari dalam pejabat hingga ke tepi jalan, yang memakai uniform pihak penguasa hinggalah jubah orang agama, untuk mengekalkan jawatan atau mendapat tender kerajaan dan pelbagai lagi bentuk rasuah; tunggulah saat kehancurannya.
Rasuah, musibah yang meresahkan. Satu negara boleh hancur dan merudum akibat rasuah yang dijadikan budaya. Apabila menjadi budaya, yang asalnya adalah salah dan berdosa, akhirnya menjadi biasa dan tidak mengapa. Untuk menyedapkan rasa hati, lalu 'rasuah' digelar upah'atau hadiah.
Sampai bila kita akan terus menatap berita perihal rasuah? Rasuah orang atasan dengan caranya. Rasuah orang bawahan pula dengan caranya. Semakin tinggi jawatannya, semakin banyak pula pintu habuan.
Sampai bila kita ingin terus hidup dalam sistem yang dilingkari dengan budaya rasuah? Tergamakkah kita untuk melihat generasi akan datang terpalit dengan segala keburukan dan kebusukan najis rasuah ini? Tidak ada satu pun kebaikan dalam rasuah melainkan hanyalah keburukan. Keburukan yang akan membawa kepada kehancuran.

Rasuah pegawai
Ada pegawai secara terang-terang menggunakan kedudukannya untuk meminta 'habuan' daripada pihak yang berurusan dengannya. Ada 'habuan', dapatlah kelulusan, terlepaslah saman dan hukuman. Tiada 'habuan', diucapkan selamat jalan, hukuman dikenakan, saman dikeluarkan.
 Ada rasuah yang cuba diindahkan dengan istilah hadiah. Justeru, ada pegawai yang berkuasa meluluskan sesuatu projek, meluluskan sesuatu urusan,  tidak berasa bersalah menerima 'hadiah' dari kontraktor yang berhasrat ingin merebut projek tersebut atau mereka yang ingin mendapat sesuatu kelulusan.
Rasulullah SAW memberi amaran: "Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: "Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi ALLAH SWT, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada hari kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkuknya." (Riwayat Bukhari)
Maksudnya, jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tidak ada kaitan dengan jawatan dan kedudukan yang dipegang, maka ia adalah hadiah. Tetapi jika ia diberikan kerana jawatan dan kedudukan yang boleh memutuskan sesuatu perkara, maka itu adalah rasuah.

Makan harta ghulul
Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul." (Riwayat Abu Daud, sahih)
Ibnul Atsir dalam Al-Nihayah fi Gharib Al-Hadith menerangkan, kata Al-Ghulul, pada asalnya bermakna khianat dalam urusan harta rampasan perang, atau mencuri sesuatu dari harta rampasan perang sebelum dibagikan. Kemudian, kata ini digunakan untuk setiap perbuatan khianat dalam suatu urusan secara sembunyi-sembunyi. (Lihat: Ibn al-Athir, Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith (2006), Beirut: Dar al-Ma’rifah, 2/316)
Jadi, harta ghulul secara umum digunakan untuk setiap pengambilan harta oleh seseorang secara khianat, atau tidak dibenarkan dalam tugas yang diamanahkan kepadanya (tanpa izin pemimpinnya atau orang yang menugaskannya). Dalam bahasa kita sekarang, perbuatan ini disebut korupsi atau rasuah.
Imam Al-Syaukani di dalam Nail Al-Awtar menjelaskan, dalam hadis ini terdapat dalil tidak halal (haram) bagi pekerja mengambil tambahan di luar imbalan (upah) yang ditetapkan orang yang menugaskannya, dan apa yang diambilnya di luar itu adalah ghulul (korupsi). (Al-Syaukani, Nail al-Awtar (Mesir: Dar al-Hadith, 1993), 4/197)

Perasuah hidup hina
ALLAH berfirman dalam al-Quran menceritakan mengenai orang Yahudi: "Mereka adalah orang-orang yang ALLAH sudah tidak berkehendak menyucikan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang pedih di akhirat. Mereka gemar mendengar berita bohong dan gemar memakan Al-Suht (yang haram)." (Surah Al-Maidah: 41-42)
Dalam mentafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab, Ibn Mas'ud RA dan selainnya mengatakan yang dimaksudkan dengan As-Suhtu (suatu yang haram) adalah rasuah. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriah, 1964) 6/183)
Ibnu Mas'ud RA mengatakan: "Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau hakim) adalah kekufuran, adapun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram)." (Al-Tabarani, Mu'jam Al-Kabir)

Perasuah hidup gelisah
Walaupun secara zahir mungkin dilihat mereka yang terlibat dengan rasuah bergembira dengan duit dan harta yang diperoleh, namun percayalah mereka hanya beroleh kesenangan tetapi tidak ketenangan. Kehidupan yang bergelumang dengan rezeki haram tidak pernah memberikan ketenangan. Apa yang ada hanyalah keseronokan sementara. Namun, jauh di sudut hati mereka tersimpan seribu satu ketakutan, keresahan dan kegelisahan.
Rasuah adalah dosa. Dosa tidak akan memberikan ketenangan kepada si pelakunya. Rasulullah SAW pernah menyebutkan: "Kebaikan itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu (ia baik)." (Riwayat Ahmad & Al-Darimi dengan sanad yang hasan)
Bagaimana ingin hidup dalam ketenangan, jika diri sudah dilaknat oleh Rasulullah SAW? Perhatikan hadis berikut:  Dari Abdullah bin 'Amr, dia berkata: "Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Riwayat Tirmizi, hasan sahih)
Jika diri dilaknat dan dibenci Rasulullah SAW, bagaimana ingin menagih simpati dan bantuan Rasulullah SAW di akhirat kelak?

Di mana agama perasuah?
Jika tangan yang menghulur dan menadah rasuah adalah orang yang mengaku Islam dan beriman, maka di manakah diletakkan nilai agama ketika rasuah dilakukan? Sanggup mengotorkan diri dengan sumber yang haram sehingga mengabaikan perintah dan larangan agama.
Duit, harta, pangkat dan segala kemewahan yang diperoleh secara rasuah adalah haram. ALLAH telah mengingatkan perkara ini dengan firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 188.
Imam Al-Qurthubi berkata: "Sesiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Di antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan kamu sedangkan kamu tahu kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah menjadi halal dengan keputusan hakim." (Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an, 2/ 338)
Jauhi rasuah. Perangi rasuah. Perasuah adalah musuh agama. Perasuah adalah perosak negara. Hiduplah dengan rezeki yang halal. Rezeki halal menjanjikan ketenangan. Percayalah... rasuah adalah kesenangan dalam kegelisahan.


EmoticonEmoticon