Kalau Impikan Anak Bergelar Al-Hafiz, Ini 16 Strategi Mesti Dilakukan!


Ibu bapa mana yang tidak impikan anak menjadi anak soleh dan solehah. Tambah membahagiakan apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran sejak usia kecil lagi. Kini,impian tersebut boleh menjadi kenyataan asalkan sahaja anda melakukan startegi yang betul sejak si comel masih kecil lagi.

Ayuh, ibu dan ayah semua, jangan berlengah lagi untuk menjadikan anak anda salah seorang daripada anak tahfiz. Inilah strategi yang mesti dilakukan.

1. Mulakan dari awal

Perkenalkan al-Quran sejak dari alam rahim lagi. Ibu atau bapa hendaklah membaca al-Quran kepada janin untuk didengari. Paling tidak, pasangkan audio surah-surah al-Quran untuk didengari. Apabila lahir, anak sudah terbiasa dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran.

2. Kad imbasan

Seawal usia enam bulan, ajar si manja dengan huruf-huruf jawi menggunakan kad imbasan supaya dia terbiasa dengannya.

3. Sebut

Apabila dia meningkat ke usia satu atau dua tahun, suruh bayi sebut  bunyi huruf-huruf itu. Perlahan-lahan perkenalkan jenis-jenis baris iaitu baris atas, bawah, tanwin dan sebutan yang betul.

4. Surah mudah

Mulakan dengan surah-surah mudah dan pendek untuk dihafalnya. Misalnya Al-fatihah, tiga Kul dan lain-lain.

5. Baca dahulu

Biar si manja menguasai pembacaannya dahulu sebelum mula menghafal. Pastikan bacaannya betul.

6. Sabar

Bersabar dengan kerenahnya. Dia masih kecil dan sukar untuk memberikan tumpuan yang lama. Maka selang-selikan hafazan dengan aktiviti lain.

7. Berdoa

Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar si manja dikurniakan minda yang mudah mengingati dan hati yang cerah agar mudah baginya menghafaz al-Quran seterusnya menjadi mukmin yang soleh dan solehah.

8. Minda bawah sedar

Baca surah Al-Insyirah ketika si anak dalam keadaan tidur-tidur ayam. Hal ini akan mempengaruhi dirinya menerusi minda bawah sedar. Kemudian bacakan doa Bismillah hillazi la yadurru...dan tiupkan ke ubun-ubunnya.
Ambil kesempatan untuk bercakap dengannya tentang kehendak anda yang ingin melihat dia menjadi insan yang soleh dan hafaz al-Quran.

9. Puji dan ganjaran

Berikan puji-pujian dan ganjaran kepadanya sekiranya dia berjaya menghafal surah tertentu. Pujian juga boleh memberikan motivasi kepada dirinya agar tidak mudah berputus asa. Berikan ganjaran dalam bentuk material atau moral supaya dia terus teruja melakukan perkara yang mulia ini.

10.    Makanan halal

Soal pemakanan sangat mustahak kerana anak-anak hafiz memerlukan makanan yang halal supaya dia terang hati dan mudah memberikan tumpuan dan tinggi daya ingatan.

11.    Kuatkan ingatan

Jadual hafazan dan kedudukan dirinya yang sentiasa dengan al-Quran secara tidak langsung akan melenyapkan unsur hiburan yang melampau. Mengelakkan perkara-perkara yang menumpulkan akal seperti ketawa melampau, menonton hiburan, membuat perkara lagha dan sebagainya.

12.    Amalan surah Taha 23-25

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; "Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; "Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, "Supaya mereka faham perkataanku;
Ayat  ini adalah doa Nabi Musa ketika memohon kepada Allah SWT menghadapi cabaran Firaun. Dengan izin Allah dipermudahkan bacaan dan hafazannya.

13.    Semasa bermain

Pasangkan audio bacaan al-Quran ketika si manja sedang bermain. Pilih audio dari bacaan qari kanak-kanak yang jelas, merdu dan nyata bacaannya. Pasang berulang kali kerana kelak anak akan mudah mengikutnya.

14.    Tidur

Pasangkan juga audio bacaan al-Quran ketika si manja ingin tidur. Biarkan ia berlangsung sepanjang malam sehingga si kecil bangun keesokan harinya.

15.    Di dalam kenderaan

Gunakan masa lapang ketika dalam perjalanan di dalam kereta untuk si manja mengaji al-Quran atau pun sediakan audio al-Quran dan dipasang di sepanjang perjalanan.

16.    Jadual

Sediakan waktu bacaan empat hingga lima kali sehari bagi si manja empat tahun ke atas. Pada setiap sesi, biarkan dia menghafal dengan penuh konsentrasi dan tumpuan.

Semoga niat yang ikhlas kerana Allah SWT akan mempermudahkan perjalanan ibu dan ayah mendidik anak-anak menjadi seorang Al-Hafiz.
 


EmoticonEmoticon